SUBANG, 30 Jun 22 - Markas Pemerintahan Bantuan Udara (MPBU) telah melaksanakan Program Jiwa Murni Pembersihan Tanah Perkuburan Pusara Aman Kampung Melayu Subang melibatkan seramai 45 orang pegawai, anggota serta kakitangan awam yang bertugas di MPBU. Turut hadir menjayakan program ialah Lt Kol Alias bin Mat TUDM yang mewakili Ketua Staf MPBU dan Mej Shadom bin Abu Bakar TUDM selaku Pegawai Jiwa Murni Markas.
Objektif utama program kali ini adalah bagi mengeratkan hubungan silaturrahim antara kedua pihak antara warga MPBU dan masyarakat setempat. Program kali ini juga bertujuan untuk memupuk semangat kerjasama dan mementingkan kebersihan di dalam kalangan anggota serta bagi mewujudkan suasana selesa kepada ahli keluarga yang datang menziarahi tanah perkuburan.
Program ini turut disertai En Hj Salim bin Abd Rahman selaku Ketua Kampung bersama ahli kariah Kampung Melayu Subang yang menghargai usaha murni oleh warga MPBU dan berharap agar program ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
Pihak Markas ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada ahli kariah Kampung Melayu Subang yang sudi menerima kehadiran warga Markas dan turut serta menjayakan program yang telah dirancang.