![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
IPOH, 15 Okt 24 – Para peserta Eksesais Bantu Kilat (EBK) 24 yang sedang berlangsung di Akademi Tentera Udara (ATU) telah melaksanakan Program Community Relation (COMREL) yang bertujuan untuk memperkukuh hubungan antara pihak TUDM dan masyarakat setempat. Program ini dilaksanakan di Politeknik Ungku Omar dengan kerjasama MTU-BSM (Pengambilan) dan Markas Pasukan Simpanan Tentera Udara (MPSTU). Program ini telah mendapat sambutan hangat daripada pelajar tahun akhir Politeknik Ungku Omar dan pelajar-pelajar daripada SMK Wira Jaya, SMK Raja Chulan dan SMK Gunung Rapat yang turut hadir dalam program ini.
Fokus utama program ini adalah untuk mempromosikan bidang kerjaya dalam TUDM melalui pameran dan ceramah kerjaya untuk menarik lebih ramai golongan muda terutamanya lepasan politeknik untuk menganggotai TUDM. Ceramah ini telah disampaikan oleh pegawai dan anggota TUDM yang berpengalaman luas dalam perkhidmatan, dan memberi tumpuan kepada aspek-aspek penting dalam kerjaya ketenteraan, seperti kepimpinan, disiplin, integriti, dan komitmen terhadap tugas.
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
Dalam sesi ini juga, pegawai-pegawai kanan eksesais telah memperincikan pelbagai peluang kerjaya yang tersedia dalam TUDM dari bidang kejuruteraan pesawat hingga ke posisi sokongan logistik, pengurusan, dan pentadbiran. Mereka turut memberi penerangan terperinci tentang faedah menyertai perkhidmatan ini, termasuk latihan kemahiran yang berterusan, peluang kenaikan pangkat, kemudahan perubatan, serta faedah persaraan.
Program promosi ini bukan sahaja bertujuan untuk mencari bakat baru yang berkualiti, tetapi juga untuk mendekatkan lagi masyarakat kepada peranan penting yang dimainkan oleh TUDM dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
Program Community Relation (COMREL) yang dijalankan di Politeknik Ungku Omar adalah satu inisiatif penting dalam membina hubungan erat dengan masyarakat, khususnya institusi pendidikan. Melalui program ini, TUDM bukan sahaja mempromosikan peluang kerjaya dalam ketenteraan, tetapi juga memupuk rasa percaya dan kefahaman yang mendalam antara angkatan tentera dan orang awam. Turut hadir ke program ini ialah Pengarah EBK 24, Kol Mohd Sam bin Mohd Yusof TUDM serta pegawai-pegawai yang terlibat dengan EBK 24.