PROGRAM CIVIL - MILITARY COOPERATION (CIMIC) EKSESAIS PACIFIC ANGEL SIRI 22-2

DSC 8263 DSC 8270 DSC 8291
DSC 8301 DSC 8317 DSC 8329

 

SHAH ALAM, 18 Ogos 2022 – Rumah Perlindungan dan Pemulihan Wanita Darul Wardah (DARWA) telah menjadi lokasi Program Civil-Military Cooperation (CIMIC) bagi peserta Eksesais Pacific Angel Siri 22-2 (PA 22-2). Rumah perlindungan yang terletak di Jalan Kebun, Shah Alam ini menempatkan seramai 27 orang penghuni wanita pelbagai latar belakang dan usia dari seluruh negara. Secara umumnya, DARWA menjadi pusat perlindungan serta pemulihan bagi golongan wanita di antara usia 16 hingga 24 tahun yang mungkin tersalah langkah kerana terjebak dengan gejala sosial.

Kebiasaaannya program CIMIC eksesais dilaksanakan di rumah ibadat, rumah anak-anak yatim dan asnaf, rumah kebajikan orang-orang tua dan Orang Kelainan Upaya (OKU), namun pada kali ini, PA 22-2 berkongsi aspirasi dengan membuat pendekatan yang berbeza apabila telah mengadakan program khusus untuk wanita-wanita yang memerlukan bimbingan, sokongan serta dorongan untuk lebih bersedia apabila kembali semula ke pangkuan masyarakat kelak. Mengambil kira keperluan tersebut, sesi ceramah motivasi menjadi pengisian utama program yang disampaikan oleh Ustaz Harun bin Mohd Shah, seorang Penceramah Bebas Negeri Selangor yang membawakan topik ‘Mengenal Diri’.

DSC 8340 DSC 8351 DSC 8368
DSC 8395 DSC 8465 DSC 8486
DSC 8513 DSC 8534 DSC 8548

 

Terdahulu, majlis telah dimulakan dengan ucapan dan taklimat daripada Pengerusi DARWA iaitu Ustazah Hazlina binti Abd Razak. Seterusnya, diikuti dengan sesi penyampaian sumbangan daripada pihak Tentera Udara Diraja Malaysia dan US Pacific Air Force. Sumbangan-sumbangan berupa barangan keperluan penjagaan wanita dan kanak-kanak, pakaian, beg sekolah, peralatan rumah dan sebagainya telah disampaikan oleh Kol David Dersch – US PACAF Chief Chaplain dan Lt Kol Shaharudin bin Mohd Said TUDM selaku Pengarah Bersama Eksesais.

Para penghuni DARWA turut dipersembahkan dengan persembahan silat serta teknik-teknik ringkas mempertahankan diri apabila berhadapan dengan gangguan daripada orang-orang yang tidak dikenali. Persembahan silat tersebut telah dijayakan oleh Kpl U Mohammad Syami Azri bin Zaini dan Kpl U Harlin bin Ali Hasan dari Cawangan Muzik dan Kesenian (MUKES) TUDM. Lebih menghidupkan suasana majlis apabila pelajar-pelajar DARWA turut sama memeriahkan majlis dengan persembahan nasyid serta pameran kraftangan dan masakan.

Turut sama dalam program CIMIC ini ialah YB Tuan Mohd Zawawi bin Ahmad Mughni yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal serta Pemerhati Ketenteraan dari Tentera Udara Filipina, Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Udara dan Tentera Udara Mongolia.

#EksesaisPacificAngel
#WargaUdara
#CIMIC