KUANTAN, 10 Feb 23 – Pangkalan Udara Kuantan bersama Ibu Pejabat Polis Pahang (IPK) telah bekerjasama mengadakan satu sesi ceramah ‘Kesedaran Jenayah Komersil’. Ceramah program telah disampaikan oleh Inspektor James A/L Johnson, Pegawai Penyiasat Korporat dan Kewangan Jabatan Komersil IPK Pahang.
Program hari ini dihadiri oleh warga PU Kuantan yang terdiri daripada pelbagai Bahagian/Unit, Pembantu Awam dan juga Ahli BAKAT.
Statistik jenis pekerjaan menunjukkan pekerja Kerajaan termasuk dalam jumlah paling ramai yang menjadi mangsa jenayah komersil. Antara contoh jenayah komersil yang dapat dikesan adalah pinjaman tidak wujud, penipuan pelaburan, cryptocurrency (matawang digital), pengubahan wang haram, penipuan menyamar kenalan, Business Email Compromise, Penipuan SMS, penipuan pembelian dalam talian, love scam, dan juga penyamaran panggilan.
Tujuan program ini diadakan adalah untuk meningkatkan tahap kesedaran integriti di kalangan warga Pangkalan Udara Kuantan dan memastikan semua warga Pangkalan terhindar daripada terlibat dengan salah laku atau menjadi mangsa jenayah komersil.
Turut hadir Komander Pangkalan Udara Kuantan Brig Jen Ahmad Khusairi bin Ahmad Fadli TUDM, Pegawai Eksekutif Pangkalan Kol Zulkefli bin Hj Samsu Hadi TUDM, Wakil Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil DSP Yap Huat Tien serta Pegawai-pegawai memerintah Skuadron dan Cawangan.
Di akhir majlis turut diadakan sesi penyampaian hadiah bagi pertandingan menulis artikel integriti peringkat Pangkalan Udara Kuantan. Tempat pertama dengan tajuk Penyelewengan Wang Dalam Organisasi TUDM oleh Lt M Mohamad Alma bin Anuti TUDM dari INSPRA, tempat kedua dengan tajuk Amalan Tindakan Tidak Berintegriti Remeh Tapi Salah oleh Kapt Atikah Azdlina binti Kasman TUDM dari Cawangan Operasi, manakala tempat ketiga dengan tajuk Kepimpinan Tanpa Culas oleh Sjn U Izzuddin bin Mansor dari No 10 Skn.
Komander Pangkalan turut menyampaikan cenderahati kepada DSP Yap Huat Tien wakil Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil dan Inspektor James A/L Johnson Pegawai Penyiasat Korporat dan Kewangan Jabatan Komersil IPK Pahang sebagai penceramah pada hari ini.