ALOR SETAR, 11 Dis 2020 - Pra Penilaian LPKT dan Amali bagi program Diploma Kemahiran Malaysia melalui kaedah Recognition Prior Experiential Learning (RPEL) telah dijalankan bermula pada 7 Dis hingga 11 Dis 2020. Program ini merupakan satu inisiatif yang dilakukan hasil kerjasama antara pihak ATM, PERHEBAT dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia untuk memberi peluang kepada anggota ATM yang masih berkhidmat dan veteran ATM mendapatkan pengiktirafan bagi kepakaran dan kemahiran mereka sepanjang perkhidmatan di peringkat nasional.
Sesi Pra Penilaian pada kali ini melibatkan seramai 35 calon terdiri daripada dua pegawai kejuruteraan dan 33 orang jurulatih ITAS Kolej Tentera Udara. Ianya adalah bertujuan bagi persediaan terakhir sebelum penilaian sebenar bersama Panel Pakar Industri dan JPK akan datang. Program pengiktirafan juruteknik pesawat yang dikendalikan oleh MTU-Kejuruteraan ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada anggota TUDM dan veteran TUDM di mana ianya mampu meningkatkan kebolehpasaran para juruteknik yang dilahirkan oleh TUDM.
Sesi Pra Penilaian ini dikendalikan oleh 2 Pegawai Penilai yang dilantik oleh PERHEBAT diiktiraf oleh JPK (PP-PPT). Dalam ucapan Ketua Unit RPEL PERHEBAT Dr Azinuddin bin Mat Din, beliau sering menekankan aspek faedah dan kelebihan yang bakal diterima oleh anggota sekiranya memberi komitmen terhadap proses peningkatan kendiri dengan kaedah-kaedah yang disediakan seperti RPEL ini. Beliau juga menasihatkan agar program ini dapat diteruskan supaya warga TUDM dan ATM dapat bersaing apabila bersara kelak.