KUANTAN, 25 Mac 2022 – Institut Latihan Pengurusan Ruang Angkasa (INSPRA) telah mengadakan Sukan INSPRA iaitu Pertandingan Bola Tampar yang berlangsung di Gelanggang Bola Tampar INSPRA. Terdapat lima pasukan yang terlibat daripada Sekolah Kawalan Pertahanan Udara (SKPU), Sekolah Kawalan Trafik Udara (SKTU), Sekolah Komunikasi (SKOM), Sekolah Bomba dan Menyelamat (SBM) dan Gabungan Flait Bantuan yang terdiri dari Markas Tadbir, Fleet Bantuan Material dan Bahagian Kejuruteraan.
Komandan INSPRA, Kol Mohd Shahfreen bin Baba TUDM diiringi oleh Ketua Jurulatih Latihan, Lt Kol Sharidan bin Nemad TUDM telah menyempurnakan majlis tersebut yang dimulai dengan gimik pembukaan dan seterusnya merasmikan Sukan Bersepadu INSPRA. Komandan INSPRA turut menzahirkan ucapan tahniah kepada pemenang iaitu SBM (Johan) dan Gabungan Flait Bantuan (Naib Johan).
Komandan INSPRA turut menyampaikan Amanat Panglima Tentera Udara dengan memberi penekanan Tonggak Ke–6 iaitu Kebajikan Sosial dan Kelestarian Warga. Berpandukan kepada tonggak ke-6, iaitu menentukan setiap warga diberi masa dan ruang untuk bersukan dan menggunakan fasilitas-fasilitas yang disediakan di dalam pangkalan. Selain itu juga, Program Larian RMAF 10 Km Challenge akan turut diaktifkan semula. Aktiviti sukan seperti ini dapat memberi tahap kesihatan dan meningkatkan semangat kesukanan bagi melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, intelektual dan rohani. Acara ini juga diadakan sebagai satu platform untuk memupuk semangat kerja berpasukan selain mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara semua staf, jurulatih dan peserta kursus INSPRA.