SUBANG, 15 Dis 23 - Markas Pemerintahan Bantuan Udara (MPBU) telah melaksanakan Pertandingan Akhir Bola Sepak Interseksyen MPBU dan Majlis Penutup Kejohanan Sukan Interseksyen MPBU 2023 yang telah diadakan di Mini Stadium Pangkalan Udara Subang.
Majlis ini merupakan simbolik bagi penutup sukan yang telah dipertandingkan bermula dari Januari 2023 sehingga Disember 2023 melibatkan 8 jenis sukan iaitu Bola Sepak, Bola Tampar, Futsal, Sepak Takraw, Ping Pong, Petanque, Badminton dan Boling.
Kejohanan Sukan Interseksyen MPBU 2023 adalah melibatkan seluruh warga MPBU yang telah dibahagikan kepada 4 Kontinjen iaitu Skyhawk, Tebuan, Caribou dan Sabre. Kontinjen Tebuan telah dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan pada tahun ini sekaligus merangkul piala pusingan dengan jumlah kutipan mata sebanyak 80 mata mengatasi kontinjen Sabre dengan 77 kutipan mata.
Terdahulu, Ketua Staf MPBU, Brig Jen Sharani bin Kamaruddin TUDM telah menyempurnakan gimik sepak mula Pertandingan Akhir Bola Sepak Interseksyen MPBU diantara kontinjen Tebuan dan Skyhawak sebagai acara penutup serta seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah dan piala pusingan kepada pemenang pertandingan serta merasmikan Majlis Penutup Kejohanan Sukan Interseksyen MPBU Tahun 2023.
Turut hadir pada majlis ini ialah Ketua Staf Sistem MPBU, Brig Jen Ir Azhar bin Hj Idris TUDM, Lt Kol Rafidi Anuar bin Abu Samah TUDM merangkap Pengerusi Sukan dan Rekreasi MPBU bersama Pegawai-Pegawai Eksekutif MPBU yang lain.
Dalam ucapan penutup, Ketua Staf MPBU menyatakan bahawa objektif utama bagi penganjuran acara sukan ini adalah untuk membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan warga MPBU. Selain itu, perlaksanaan pertandingan sebegini juga telah dapat mewujudkan budaya persaingan secara sihat serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim diantara warga MPBU.
Mengakhiri ucapan, beliau mengingatkan kepada warga MPBU untuk menjaga kepentingan work life balance dalam kehidupan seharian dan turut merakamkan ucapan tahniah kepada pihak penganjur dan semua pemenang acara sukan interseksyen MPBU 2023.