PERBARISAN PENGHARGAAN SEMPENA PERSARAAN MEJ JEN DATO' HANAFIAH BIN HJ ABDUL MANAF TUDM

1 2 3
4 5 6

 

KUANTAN, 14 Sep 23 - Perbarisan Penghargaan sempena persaraan Mej Jen Dato' Hanafiah bin Hj Abdul Manaf TUDM telah dilaksanakan hari ini bertempat di Padang Kawad Institut Latihan Pengurusan Ruang Angkasa (INSPRA), Pangkalan Udara Kuantan. Perbarisan ini diadakan sebagai penghargaan khas kepada beliau yang bakal menamatkan perkhidmatan setelah 42 tahun 6 bulan 1 hari mencurahkan khidmat bakti serta jasa dan pengorbanan di dalam perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) amnya dan Cawangan Kawalan Lalu Lintas Udara (KLLU) khasnya.

Sebaik ketibaan, Mantan "Tred Master" KLLU, Mej Jen Dato' Hanafiah bin Hj Abdul Manaf TUDM telah menerima tabik hormat dan seterusnya memeriksa perbarisan yang berkonsepkan perbarisan statik terdiri daripada 11 pegawai dan 91 anggota Lain-lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Mej Umar Azizi bin Ramli TUDM serta diiringi oleh Pancaragam Pusat TUDM.

7 8

 

Di dalam ucapannya, Mej Jen Dato' Hanafiah bin Hj Abdul Manaf TUDM menzahirkan terima kasih kepada pucuk pimpinan TUDM serta seluruh warga TUDM khususnya Cawangan Kawalan Lalu Lintas Udara (KLLU) kerana telah memberikan kepercayaan kepada beliau sebagai "Tred Master" KLLU. Beliau turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada warga KLLU yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan perbarisan persaraan untuknya pada hari ini.

Sebagai acara simbolik penghargaan kepada beliau turut diadakan sesi bergambar sebagai tanda kenangan di akhir perkhidmatannya. Beliau telah diiring beredar meninggalkan lokasi dalam acara “send off” dan "street lining" serta menyantuni warga KLLU yang hadir ke perbarisan memberi penghormatan dan penghargaan kepada beliau.

Turut hadir memberikan penghargaan ialah Komander Pangkalan Udara Kuantan, Brig Jen Wan Azwan Azwari bin Wan Ali TUDM; Tred Master KLLU, Brig Jen Ben Khedda Adnan bin Mohd Yusoff TUDM; Komandan INSPRA, Kol Mohd Shahfreen bin Baba TUDM; AKS KOMLEK, Kol Zamzuri bin Yahaya TUDM; Pegawai-pegawai serta anggota PKTU.

Seluruh warga TUDM amnya dan KLLU khususnya mengucapkan selamat bersara dan terima kasih di atas sumbangan dan jasa yang tidak terhingga yang telah ditaburkan di sepanjang perkhidmatan Mej Jen Dato' Hanafiah bin Hj Abdul Manaf TUDM.