PERBARISAN PEGAWAI MEMERINTAH MPBU

1 2 3
4 5 6

 

SUBANG, 19 Apr 23 – Markas Pemerintahan Bantuan Udara (MPBU) telah melaksanakan Perbarisan Pegawai Memerintah bertempat di Padang Kawad Markas yang dihadiri oleh semua pegawai, anggota LLP serta kakitangan awam yang berkhidmat di MPBU.

Acara dimulakan dengan penerimaan tabik hormat dan seterusnya pemeriksaan perbarisan oleh Pegawai Memerintah MPBU, Brig Jen Muhd Aznor bin Hj Md Ghazali TUDM. Turut diadakan semasa perbarisan ialah Majlis Sumbangan Kebajikan kepada anggota dan staf awam MPBU serta penyampaian beg raya bagi anggota petugas MPBU yang bertugas pada hari raya.

Dalam ucapan Pegawai Memerintah, beliau telah menekankan budaya kerja berintegriti di dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan. Selain itu juga, sempena bulan Ramadan yang mulia ini, beliau berharap agar segala urusan semua warga Markas Pemerintahan Bantuan Udara dipermudahkan serta terus dikurniakan dengan kecemerlangan, perlindungan serta kekuatan yang berterusan.

Ucapan telah diakhiri dengan amanat Pegawai Memerintah agar seluruh warga MPBU menjaga keselamatan pejabat, rumah serta keluarga sepanjang bercuti sempena perayaan kali ini. Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada kepada anggota yang menyambutnya dan menyeru agar sentiasa berhati-hati semasa menggunakan jalanraya di dalam perjalanan pulang berhari raya dan semasa kembali semula dari kampung halaman.