SUBANG, 30 Mac 21 – Markas Pemerintahan Bantuan Udara (MPBU) telah melaksanakan Perbarisan Pegawai Memerintah bertempat di Padang Kawad MPBU yang dihadiri oleh semua pegawai, anggota LLP, serta kakitangan awam yang berkhidmat di MPBU.
Perbarisan ini diketuai oleh Mej Mohd Fazli bin Ariffin TUDM yang dilaksanakan mengikut norma baharu di dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Dalam ucaptama Pegawai Memerintah MPBU Brig Jen Mohamad Shuairi bin Abdullah TUDM, beliau menyatakan tentang kepentingan untuk sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi mencegah penularan wabak Covid-19 yang melanda negara. Beliau turut menekankan aspek disiplin dari segi ketepatan masa serta setiap anggota hendaklah terus mengekalkan budaya kerja yang cemerlang dengan memelihara integriti dan profesionalisme.
Diakhir perbarisan, Pegawai Memerintah MPBU Brig Jen Mohamad Shuairi bin Abdullah TUDM juga mengingatkan tentang aspek keselamatan serta beliau mengucapkan selamat berpuasa bagi anggota muslim sempena menyambut kedatangan bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi.