KUANTAN, 5 Jul 23 – Pangkalan Udara Kuantan telah melaksanakan Perbarisan Bulanan Komander Pangkalan bertempat di Dispersal Hangar Cawangan Kejuruteraan, pagi ini.
Perbarisan terdiri daripada 181 Anggota LLP dan 7 Pegawai yang diketuai Mej Mohd Firdaus bin Husain TUDM dari Cawangan Kejuruteraan; Ajutan Perbarisan, Kapt Muhd Nashiruddin bin Zamri dari No 10 Skuadron manakala Pegawai Waran Perbarisan, PW U II Mohd Azmi bin Ismail dari Skn 320.
Upacara perbarisan dimulakan dengan tabik hormat kepada Komander Pangkalan, Brig Jen Wan Azwan Azwari bin Wan Ali TUDM dan seterusnya pemeriksaan perbarisan oleh Komander Pangkalan. Dalam perbarisan ini, Komander Pangkalan diiringi Pegawai Eksekutif Pangkalan, Kol Zulkefli bin Hj Samsu Hadi TUDM telah menyempurnakan pemakaian pangkat kepada Pegawai dan Anggota.
Perbarisan ini merupakan perbarisan ulung buat Brig Jen Wan Azwan Azwari bin Wan Ali TUDM selepas memegang tampuk pemerintahan Pangkalan Udara Kuantan. Pangkalan Udara Kuantan merupakan tempat penuh nostalgik buat Brig Jen Wan Azwan Azwari bin Wan Ali TUDM kerana pernah berkhidmat sebagai juruterbang pesawat MIG-29 di No 17 Skuadron dan juga sebagai Pegawai Memerintah PULATIBANG III.
Dalam ucapan Komander Pangkalan, beliau berterima kasih kepada pimpinan tertinggi TUDM atas kepercayaan yang diberi kepadanya bagi menerajui Pangkalan Udara Kuantan. Beliau berharap agar semua peringkat pegawai dan anggota serta kakitangan awam dapat bekerjasama demi kecemerlangan pangkalan pada masa depan.
Perbarisan diakhiri dengan laungan Ikrar Kesatria dan bacaan doa. Turut hadir dalam perbarisan ini, Pegawai-pegawai Memerintah dan Ketua-ketua Cawangan, Pegawai dan Anggota serta kakitangan awam.