ALOR SETAR, 26 Mac 21 - Penilaian Laporan Pengalaman Keterampilan Terdahulu (LPKT) atau dikenali juga sebagai “Recognition Prior Experiential Learning” (RPEL) dan amali bagi program Diploma Kemahiran Malaysia telah dijalankan bermula pada 23 hingga 25 Mac 2021 di Kolej Tentera Udara, Alor Setar, Kedah.
Program ini adalah satu inisiatif yang dilakukan hasil kerjasama antara pihak ATM, PERHEBAT dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia. Program ini telah memberi peluang kepada anggota ATM yang masih berkhidmat dan veteran ATM bagi mendapatkan pengiktirafan berdasarkan pengalaman, pengetahuan, kepakaran dan kemahiran mereka sepanjang perkhidmatan di peringkat nasional.
Sesi penilaian pada kali ini melibatkan seramai 31 calon yang terdiri daripada 19 calon pegawai dan Jurulatih Institut Teknologi Aerospace (ITAS), 10 calon anggota TUDM serta 2 calon veteran TUDM yang kini sedang berkhidmat dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Syarikat penerbangan swasta dalam negara.
Penilaian akhir adalah melibatkan empat bidang yang mengikut NOSS JPK iaitu Operasi Penyelengaraan Pesawat dipersijilkan, Pegawai Komunikasi (Teknikal), Pengurusan Pentadbiran dan Pengurusan Acara. Program yang dinilai melalui Pengiktirafan Pengalaman Terdahulu (PPT) yang dikendalikan oleh ITAS ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada semua peringkat anggota TUDM dan veteran TUDM di mana ianya mampu meningkatkan kebolehpasaran anggota dan veteran yang dilahirkan oleh TUDM.
Sesi Penilaian ini dikendalikan oleh empat orang Pegawai Penilai yang telah dilantik oleh JPK. Dalam ucapan di majlis pembukaan penilaian ini, Ketua pegawai penilai JPK, Puan Nor Aziera binti Ahmad sering menekankan aspek faedah dan kelebihan yang bakal diterima oleh anggota sekiranya memberi komitmen terhadap proses peningkatan kendiri dengan kaedah-kaedah yang disediakan seperti RPEL ini. Beliau juga berharap agar warga TUDM dan ATM dapat bersaing secara sihat setelah bersara kelak dengan berbekalkan kelayakan serta kemahiran yang telah diiktiraf oleh kerajaan.
Dengan adanya kerjasama melalui kaedah RPEL ini, ianya sekaligus mengiktiraf warga TUDM bagi keterampilan semasa dalam bidang kemahiran tertentu yang diperolehi serta menambahkan bilangan tenaga kerja mahir sepertimana hasrat kerajaan untuk mempunyai tenaga kerja mahir dan pakar demi kemajuan negara di samping boleh menjadi peluang kehidupan selepas perkhidmatan untuk bekas tentera.