KUALA LUMPUR, 12 Jun 23 - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerima perkhabaran duka atas kembali ke Rahmatullah, Allahyarham Mejar Mohd Don Cheang TUDM (BERSARA) pada hari ini jam 5.11 pagi di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur akibat sakit jantung. Allahyarham yang berusia 74 tahun telah dimasukkan ke IJN pada 28 Mei 23 namun keadaannya semakin kritikal. Beliau merupakan mantan pegawai TUDM di dalam Cawangan Kawalan Lalu Lintas Udara (KLLU) yang bersara pada 31 Mei 1999.
Jenazah Allahyarham telah disempurnakan urusan mandi, kafan, solat dan proses pengkebumian oleh “Panel of Hearse Services” yang dilantik oleh pihak Institut Jantung Negara serta turut dikoordinasi oleh Markas Tentera Udara (MTU).
Jenazah Allahyarham diberi penghormatan terakhir serta ziarah oleh ahli keluarga dan Veteran TUDM di Bilik Jenazah, IJN sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda, Kuala Lumpur selepas Solat Zohor untuk dikebumikan.
Jenazah Allahyarham Mej Mohd Don Cheang TUDM (Bersara) selamat dikebumikan pada jam 5.00 petang dan turut dihadiri oleh Brig Jen Ben Khedda Adnan bin Mohd Yusoff TUDM serta pegawai dan anggota Lain Lain Pangkat yang bertugas di MTU. Brig Jen Ben Khedda Adnan bin Mohd Yusoff TUDM turut menyantuni anak Allahyarham, Encik Eugene Kun Meng serta ahli keluarga.
Seluruh warga TUDM mengucapkan Salam Takziah kepada keluarga Allahyarham di atas kehilangan keluarga tersayang. Pihak keluarga turut merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada pucuk Pimpinan Tertinggi TUDM di atas keprihatinan memberi bantuan dan menghantar wakil.