]SUBANG, 9 Apr 21 – Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (KSU), YBhg Dato' Sri Muez bin Abd Aziz telah menyempurnakan penghantaran Tim Pemantauan Antarabangsa Mindanao 16 (TPA M-16) ke Mindanao, Filipina di Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang hari ini. Turut mengiringi Ketua Setiausaha ialah Panglima Angkatan Bersama, Lt Jen Dato’ Hj Yazid bin Hj Arshad TUDM berserta Pegawai kanan ATM termasuk Komander Pangkalan Udara Subang, Brig Jen Omar bin Hj Dawami TUDM.
KSU turut memberikan kata-kata semangat kepada TPA M-16 untuk sentiasa memberikan yang terbaik ketika melaksanakan misi di Mindanao. Turut sama berlepas ke Mindano adalah deligasi dari Markas Angkatan Bersama yang diketuai oleh Panglima Angkatan Bersama yang akan menyaksikan “Transfer Of Authority” di antara TPA M-15 dan TPA M-16 pada 10 April 2021. Penerbangan ke Mindanao, menggunakan pesawat angkut TUDM C130H dari PU Subang.
Penghantaran TPA M-16 adalah kesinambungan dalam memenuhi hasrat Kerajaan Filipina dan juga persetujuan Kerajaan Malaysia untuk menghantar tim pemantau gencatan senjata antara Goverment of Philippines (GPH) dengan Moro Islamic Liberation Front (MILF). TPA M-16 diketuai oleh Mej Jen Datuk Hamdan bin Hj Ismail selaku Ketua Misi dan melibatkan juga tiga pegawai dari TUDM daripada keseluruhan 26 orang.
Seluruh warga TUDM mengucapkan selamat bertugas kepada TPA M-16 yang menggantikan TPA M-15 meneruskan misi serta menggalas amanah dan menjunjung nama Malaysia di persada antarabangsa.