OP MURNI - TUDM MENGATURGERAK ASET UDARA BAGI MEMBANTU MANGSA BANJIR

1 2 4
6 7 8
10 11 12

 

KUANTAN, 20 Dis 21- Sebuah Helikopter EC 725 AP dari No. 10 Skuadron telah diaturgerak bagi melaksanakan OP MURNI dengan membawa bekalan makanan dan barangan keperluan asas kepada mangsa-mangsa yang terjejas akibat banjir dan membuat penerbangan MEDEVAC untuk membawa pesakit ke Hospital Tengku Ampuan Afzan.

Pesawat yang sama turut membawa Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bercemar duli untuk meninjau serta turut memberikan bantuan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Sungai Lembing. Keadaan banjir di daerah Kuantan sejak beberapa hari lalu telah menyebabkan banyak laluan di kawasan penempatan tidak boleh dilalui melalui jalan darat dan terputus hubungan.

Operasi yang diketuai oleh Pegawai Memerintah No. 10 Skuadron, Lt Kol Muhammad Fazri bin Md Zin TUDM hari ini telah melaksanakan penghantaran bekalan makanan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) seberat 2.7 tan kepada penduduk terjejas banjir di Sungai Lembing.

Komander Pesawat, Mej Nazrul Nizam bin Ismail TUDM, Mej Mohamad Khairil bin Saaban TUDM, Mej Muhamad Hijaz bin Kamarudin TUDM, Mej Baynard Mesyeanno a/k Tim’ah TUDM, Mej Nik Mohd Zaki bin Nik Mohd Amin TUDM, Kapt Muhammad Fuad bin Jaafar TUDM dan dibantu oleh Pembantu Juruterbang, Kapt Izwan Shafiq bin Suhaimi TUDM serta sembilan (9) orang anak kapal ini telah berlepas dari Pangkalan Udara Kuantan seawal jam 8.00 pagi bagi melaksanakan misi OP Murni tersebut.

Misi OP MURNI telah diaktifkan oleh ATM sejak 18 Disember 2021 berikutan beberapa negeri telah dilanda banjir dan TUDM telah bersiap siaga untuk mengatur gerak asetnya mengikut keperluan operasi semasa. Operasi yang dilaksanakan ini adalah komitmen TUDM khususnya dan ATM serta Kementerian Pertahanan amnya di dalam memastikan kesejahteraan rakyat diberikan perhatian ketika negara dilanda banjir.