MINGGU KESIHATAN DAN KESELAMATAN SKUADRON 330 TUDM

1 2 3
4 5 6
7 8 9

 

KOTA SAMARAHAN, 17 Feb 23 - Minggu Kesihatan dan Keselamatan Skn 330 TUDM telah diadakan selama tiga (3) hari bermula dari 15 Feb sehingga 17 Feb 23 yang melibatkan seluruh warga Skn. Perasmian Minggu Kesihatan dan Keselamatan ini telah dirasmikan oleh Pegawai Memerintah Skn 330 TUDM, Lt Kol Zainal Abidin bin Yahia@Yahaya TUDM dan telah dilaksanakan di Dewan Serbaguna Skn 330.

Sepanjang tiga (3) hari pelaksanaan program ini, dengan pelbagai aktiviti telah disusun khas untuk warga Skn. Pada hari pertama, program telah dimulakan dengan Taklimat dari Jabatan Arah Rekod dan Pencen (JRP) yang telah disampaikan oleh Lt Kol Nor Sham Sinar binti Abd Rahman, Pegawai Staf 1 Operasi, JRP. Majlis diteruskan dengan taklimat dari Koperasi Tentera yang disampaikan oleh Puan Florence anak Kinchang, Pegawai Eksekutif Pembangunan Perniagaan Wilayah Malaysia Timur 2. Manakala disebelah petang pula program disambung dengan Syarahan Kebakaran serta Demonstrasi Memadam Kebakaran dan Menyelamat oleh Cawangan Bomba Skn 330, Flait 232 HANDAU dan PPAT Skn 330.

Pada hari kedua, program dimulakan dengan aktiviti menderma darah yang mana ianya merupakan hasil kerjasama Skn 330 TUDM dengan Pusat Darah, Hospital Umum Sarawak. Untuk makluman, pelaksanaan aktiviti derma darah ini dilakukan secara berkala bagi menunjukkan sokongan dari pihak TUDM amnya Skn 330 khasnya kepada Pusat Darah, Hospital Umum Sarawak.

Secara tidak langsung, program menderma darah ini dapat mengeratkan hubungan di antara TUDM dan staf kesihatan awam di samping memupuk semangat menderma darah di kalangan warga Skn 330. Selain itu, turut bersama menyertai program ini adalah pameran dan pemeriksaan gigi oleh Pegawai Pergigian PGAT Poliklinik Penrissen. Manakala disebelah petang pula, program diteruskan dengan Ceramah Keselamatan Jalan Raya oleh Kapt Muhammad Syabil bin Shamsudin TUDM, Pegawai Keselamatan Skn.

Pada hari terakhir program ini dilaksanakan, program dimulakan dengan acara kemuncak yang merupakan inspirasi kewujudan Minggu Kesihatan dan Keselamatan Skn 330 TUDM iaitu syarahan Mental Health Awareness Talk yang disampaikan oleh Lt Kol (Dr) Faizul Islam bin Mohd Nordin, Pakar Perubatan Psikiatri, Hospital Wilayah Kota Kinabalu. Dengan berakhirnya syarahan tersebut, program ini seterusnya secara rasminya ditutup oleh Lt Kol Amran bin Addman @ Adnan TUDM, Pemangku Pegawai Memerintah Skn 330 TUDM.

Pengisian bagi Minggu Kesihatan & Keselamatan Skuadron 330 TUDM sememangnya telah disusun khas bagi warga Skn 330 TUDM bagi memberi kesedaran, pendedahan serta pengetahuan mengenai betapa pentingnya keselamatan dan kesihatan diri disamping emosi dalam menjalankan kerja serta kehidupan seharian. Semoga inisiatif Pegawai Memerintah bersama-sama PPAT Skn 330 dan Sel Keselamatan Skn dapat memberi manfaat yang berguna kepada semua warga Skn.