BUTTERWORTH, 22 Jul 22 - Pangkalan Udara Butterworth telah menganjurkan Minggu Keselamatan PU Butterworth untuk tahun 2022 mulai 20 Julai hingga 22 Jul 22. Majlis telah dirasmikan oleh Pemangku Komander Pangkalan, Kol Engku Faizal bin Engku Mustaffa TUDM. Slogan minggu keselamatan pangkalan pada tahun ini adalah ‘’Don’t Learn Safety by Accident’’.
Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan untuk meningkatkan tahap kesedaran serta memberi maklumat-maklumat terkini yang berkaitan dengan aspek keselamatan di tempat kerja, mengekalkan kesihatan mental untuk budaya kerja yang sihat dan selamat dan penerangan memerangi ancaman Daesh dalam kalangan anggota pangkalan.
Antara pengisian sepanjang minggu keselamatan adalah program ceramah yang bertajuk ‘Kesedaran Kesihatan Mental’ yang disampaikan oleh Pegawai Perubatan 816 RSAT PU Butterworth. Pada hari berikutnya, program ceramah yang disampaikan oleh Pegawai Polis dari Cawangan Khas, Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang berkaitan dengan isu ancaman kumpulan Daesh di Malaysia. Anggota Pangkalan juga turut didedahkan dengan ceramah daripada Cawangan Bomba PU Butterworth berkaitan dengan keselamatan kebakaran. Minggu Keselamatan kali ini dimeriahkan dengan Pertandingan Mini “Fire Fighting Challenge” (FFC) yang dikelolakan oleh Cawangan Bomba PU Butterworth. Juara bagi Pertandingan FFC dimenangi oleh No 3 Skn.
Penyampaian hadiah pertandingan video keselamatan juga telah disempurnakan oleh Pemangku Komander Pangkalan. Juara pertandingan video keselamatan dimenangi oleh Flait Kejuruteraan dari No 15 Skn manakala naib juara oleh Cawangan Bomba dan tempat ketiga dimenangi oleh Cawangan Kejuruteraan. Semoga dengan penganugerahan dan pengiktirafan yang diberikan dapat menaikkan semangat anggota untuk lebih peka terhadap keselamatan semasa berada di tempat kerja daripada sebarang kejadian yang tidak diingini.