SUBANG, 24 Jun 24 - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengadakan Mesyuarat Tapisan Anggaran Belanja Mengurus (ABM) Tahun 2025 Peringkat Kementerian Kewangan di Kelab Rekreasi Tentera Udara (KRTU), Pangkalan Udara Subang.
Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Encik Shamsol bin Haji Ini, Budget Review Officer (BRO), Pejabat Belanjawan Negara Kementerian Kewangan. Mesyuarat ini turut disertai oleh wakil Kementerian Pertahanan iaitu Puan Nazlina binti Ahmad, Timbalan Setiausaha Bahagian (B) Kementerian Pertahanan dan diiringi oleh Brig Jen Sharani bin Kamaruddin TUDM Ketua Staf Khidmat Markas Pemerintahan Bantuan Udara bagi mewakili TUDM.
Ketibaan delegasi Mesyuarat telah disambut oleh Mej Jen Masro bin Kaliwon TUDM, Panglima Bantuan Udara Markas Pemerintahan Bantuan Udara, Mej Jen Norli Hisham bin Alwi TUDM, Ketua Staf Markas Pemerintahan Operasi Udara dan Brig Jen Yusri bin Jamari TUDM Komander Pangkalan, Pangkalan Udara Subang.
Mesyuarat ini merupakan satu platform untuk Pejabat Belanjawan Negara memperhalusi dan mempertimbangkan permohonan ABM Tahun 2025 bagi Aktiviti Pertahanan Udara (APU), Kementerian Pertahanan yang dikunci masuk melalui sistem MyResults pada 23 Mei 24.
Taklimat ABM Tahun 2025 Peringkat Kementerian Kewangan telah dibentangkan mengikut (4) Sub Aktiviti di bawah APU iaitu Sub Aktiviti Pengurusan, Sub Aktiviti Logistik, Sub Aktiviti Latihan dan Sub Aktiviti Operasi.
Budget Review Officer (BRO), Kementerian Kewangan dan delegasi turut mengadakan Lawatan Kerja ke Institut Perubatan Penerbangan (IPP), No. 8 Skn dan Cabang Pergerakan Udara, PU Subang. Lawatan Kerja ini merupakan sebahagian rangka kerja untuk memberi pendedahan dan gambaran yang lebih jelas kepada BRO dan Pegawai Awam, Kementerian Pertahanan dalam memahami pengoperasian aset-aset TUDM serta cabaran-cabaran yang dihadapi dalam memastikan kesiagaan TUDM sentiasa berada pada tahap optima.
Turut terlibat dalam Mesyuarat dan Lawatan Kerja ini adalah Pengarah Belanjawan, Kol Omar Zai bin Abas TUDM, Pengarah Perancangan Program MTU-P&P, Kol Asroha binti Haron TUDM dan Pengarah Pengurusan Strategik Kewangan MATM - BPP, Kol Diwi bin A. Rahman, serta pegawai-pegawai daripada APU iaitu Sub Aktiviti Pengurusan, Sub Aktiviti Logistik, Sub Aktiviti Latihan dan Sub Aktiviti Operasi.