SENDAYAN, 8 Ogos 22 – Institut Pengajian Pentadbiran dan Pengurusan (INSTAR) telah mengadakan sambutan sempena Hari Ulang Tahun INSTAR ke-50 yang diadakan di Dewan Al Fateh, INSTAR.
Majlis ini telah dimeriahkan dengan kehadiran pegawai, anggota LLP yang bertugas di INSTAR bersama beberapa orang tetamu jemputan dari kalangan Pegawai Tadbir yang bertugas dan sedang menjalani penugasan di unit-unit dalam Pangkalan Udara Sendayan. Acara kemuncak majlis ialah sesi pemotongan kek HUT ke-50 INSTAR oleh Lt Kol Johan Wahidi bin Mohd Arip TUDM, Pegawai Memerintah INSTAR dan disusuli dengan sesi sukaneka bersama para hadirin.
INSTAR adalah sebuah intitusi pengajian yang bernaung di bawah pemerintahan Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan Udara (MPPLU) yang dahulunya dikenali sebagai Sekolah Latihan Ketenteraan Am (SEKTARA). Ia diwujudkan pada tahun 1972 di bawah pentadbiran TUDM Kinrara. Pada 1 Januari 1998, nama SEKTARA telah ditukarkan kepada Pusat Latihan Pentadbiran dan Pengurusan (PLPP). Seterusnya pada tahun 2016, namanya telah ditukar kepada INSTAR sejajar dengan fungsi dan peranannya.
Barisan kepimpinan INSTAR yang terkini akan terus komited menguruskan sebaiknya lima (5) buah sekolah di bawah tanggungjawab institut ini iaitu Sekolah Pentadbiran, Sekolah Pembantu Pertahanan, Sekolah Kulinari dan Hospitaliti, Sekolah Jasmani dan Sukan serta Sekolah Muzik agar sentiasa mendukung objektif kualiti dan dasar kualiti MPPLU.