LABUAN, 21 Jun 23 - Satu majlis penyerahan buku agama kepada Sekolah Rendah Islam Darul Ulum Membedai, Pangkalan Udara Labuan telah diadakan di Bilik Membedai 2, Pangkalan. Majlis ini diadakan bagi menghargai sumbangan pihak KEMALAK Sdn. Bhd. sebagai Rakan Strategik dalam meningkatkan mutu kehidupan keluarga anggota TUDM.
Sekolah Rendah Islam Darul Ulum yang terletak di dalam PU Labuan mempunyai seramai 225 murid yang mana kebanyakannya daripada mereka adalah anak-anak pegawai dan anggota LLP pangkalan. Pentadbiran semua Sekolah Rendah Islam di W.P Labuan adalah terletak di bawah kelolaan Bahagian Pelajaran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Cawangan Labuan termasuklah Sekolah Agama Islam di dalam PU Labuan tersebut.
Walau bagaimanapun kedudukan W.P Labuan ini yang agak jauh daripada Semenanjung Malaysia manjadikan ianya satu cabaran untuk mendapatkan bekalan buku-buku latihan dan aktiviti edisi terkini yang diperlukan oleh murid dan pihak sekolah. Justeru, aktiviti sebegini dapat membaiki mutu pembelajaran anak-anak anggota dan pegawai yang bersekolah di Sekolah Rendah Islam Durul Ulum ini. Ini akan dapat meningkatkan kefahaman anak-anak anggota dan pegawai PU Labuan dalam pengajaran Agama Islam.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Komander Pangkalan, Brig Jen Hj Muhammad Taha bin Hamdan TUDM yang juga selaku wakil pihak KEMALAK Sdn. Bhd. dan Ustaz Yamil bin Gampangan iaitu Guru Besar Sekolah SRAI Darul Ulum Membedai dan disaksikan oleh Ustaz Mohd Najeeb bin Abd Rahim selaku Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pelajaran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Cawangan Labuan. Majlis ini turut disaksikan oleh pegawai-pegawai kanan PU Labuan termasuk Pegawai Eksekutif PU Labuan, Lt Kol Rosli bin Hashim TUDM.