BUTTERWORTH, 6 Apr 21 – Asisten Ketua Staf Kejuruteraan, Mej Jen Ir Mohamad Razip bin A. Samad TUDM telah menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil dan Pemakaian Lencana EOD serta merasmikan Penutup Kursus EOD Siri 24/21 yang bertempat di Auditorium ACMI, PU Butterworth. Tujuan kursus tersebut dilaksanakan adalah melahirkan operator EOD yang berkelayakan dan berketerampilan sebagai pemusnah bahan letupan dan menjadi pasukan tindak balas terhadap ancaman Improvised Explosive Device (IED) di dalam perkhidmatan ATM amnya dan TUDM khasnya.
Kursus tersebut telah berjaya diharungi seramai 11 orang peserta kursus dengan jayanya dengan melalui dua (2) Fasa iaitu Teori dan Pratikal. Selama 12 minggu Fasa Teori telah dilaksanakan di ITSBL manakala 2 minggu Fasa Pratikal telah dijalankan di Kem Hobart, Gurun.
Dalam ucapan penutup AKS Kejuruteraan, beliau mengucapkan tahniah kepada peserta kursus yang berjaya dan syabas kepada para jurulatih ITSBL yang berusaha keras dalam menjayakan kursus tersebut dengan jayanya. Beliau juga memberikan nasihat kepada semua warga kejuruteraan untuk lebih komited dan berdedikasi dalam kerja seharian yang telah diamanahkan dan dipertanggungjawabkan.
AKS Kejuruteraan juga berkesempatan untuk melaksanakan lawatan kerja dan diberikan taklimat berkenaan status semasa peningkatan keupayaan Precision Measuring Equipment Laboratory (PMEL), status pembaikan radome pesawat EC725 oleh pihak Composite Bay Cawangan Kejuruteraan serta tinjauan ke atas fasiliti Hangar Hornet Readiness Center (HRC), Hangar No 3 Skuadron, No 15 Skuadron dan No 18 Skuadron.
Turut diiringi pada majlis tersebut Wakil Komander Pangkalan Udara Butterworth iaitu Lt Kol Goh Keen Long TUDM.