SENDAYAN, 25 Okt 24 – Timbalan Pengarah Direktorat Latihan dan IT, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Encik Hasny Zai bin Ibrahim telah menyempurnakan Majlis Penutup Bengkel Analisa Operasi Siri 1/24 yang diadakan di Institut Kepimpinan dan Pengurusan (INSKEP), Pangkalan Udara Sendayan. Turut hadir Pengarah Perisikan TUDM, Kol Mohd Izal bin Idris TUDM; Komander AWC, Kol Abdul Rahim bin Jusoh TUDM dan Pengarah Operasi dan Eksesais MTU-BOS, Kol Nurul Amir bin Othman TUDM.
Bengkel yang pertama kali dilaksanakan dengan usahasama pihak JPM dan MPOU-A2 ini telah berlangsung selama lima (5) hari bermula 21 hingga 25 Okt 24. Ianya telah disertai seramai 17 orang peserta terpilih terdiri daripada 13 pegawai dan 4 anggota LLP dari pelbagai unit. Dua (2) orang jurulatih dari JPM iaitu Puan Ilham Nursyiqim binti Rosli dan Encik Abdul Raiz bin Razally telah menyumbangkan ilmu dan kemahiran mereka berkaitan tatacara menganalisa data mentah kepada format pelaporan operasi yang lebih ringkas, padat dan relevan menggunakan teknik-teknik yang efisyen, sesuai dengan keperluan semasa operasi TUDM.
Kejayaan pelaksanaan Bengkel Analisa Operasi yang pertama ini adalah hasil kerjasama strategik di antara pihak JPM dengan pihak TUDM. Perkongsian ilmu dan kemahiran sebegini bukan sahaja suatu pencapaian besar, malah merupakan titik tolak yang amat penting dalam memperkukuhkan keupayaan modal insan TUDM dalam bidang analisa operasi. Ianya juga amat bermakna bagi menjamin kelestarian keselamatan dan pertahanan negara dalam menghadapi konteks ancaman serantau dan global yang semakin mencabar. Selain itu, bengkel ini juga adalah merupakan inisiatif awal ke arah pembangunan Kursus Analisa Operasi TUDM di masa akan datang.
Timbalan Pengarah Direktorat Latihan dan IT, Jabatan Perdana Menteri dalam ucapan penutup beliau telah mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua peserta di atas komitmen serta semangat positif yang telah dipamerkan demi menjayakan bengkel kali ini. Sebagai tanda penghargaan dari pihak TUDM, Kol Mohd Izal bin Idris TUDM turut menyampaikan sepatah dua kata sebelum menyempurnakan pemberian cenderahati kepada para jurulatih dari pihak JPM.
Semoga segala ilmu dan kemahiran yang telah diperolehi ini dapat diaplikasikan serta dimanfaatkan dengan baik oleh para peserta seiring dengan keperluan operasi TUDM.
CEKAL PERKASA , SENTIASA DI ANGKASA RAYA