ALOR SETAR, 19 Dis 23 – Sekolah Latihan Pegawai (SLP) telah melaksanakan Majlis Pembukaan Kursus Latihan Ketenteraan Tahun Akhir (LKTA) Siri 11/23. Kursus tersebut bermula pada 18 Dis 23 dan dijangka tamat pada 30 Jun 24. Jumlah pelatih kursus adalah seramai 53 orang Pegawai Kadet yang terdiri daripada 48 orang lelaki dan 5 orang wanita dari Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Majlis pembukaan kursus telah disempurnakan oleh Komandan Akademi Tentera Udara (ATU), Kol Rafiddee bin Dollah TUDM yang bertempat di Bilik Blackhawk, SLP. Dalam ucapannya, beliau mengingatkan kepada semua pegawai kadet supaya memanfaatkan segala bentuk ilmu, pelajaran serta bimbingan yang telah diberikan oleh setiap jurulatih supaya dapat diaplikasi pada masa hadapan. Beliau juga menekankan supaya semua pegawai kadet sentiasa mengamalkan budaya integriti yang tinggi bermula semasa sedang menjalani latihan dan seterusnya dalam perkhidmatan dan sentiasa berusaha menjadi pemimpin yang berkaliber.
Turut hadir semasa majlis tersebut adalah Ketua-Ketua Cawangan dari Kolej Tentera Udara (KTU), pegawai-pegawai dan barisan jurulatih SLP yang akan bersama-sama melatih pegawai kadet berkenaan sepanjang latihan tersebut.