PULAU LANGKAWI, 9 Mei 23 – Majlis Pembukaan Eksesais Mencari dan Menyelamat Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 atau Search and Rescue Exercise Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition 2023 (SAREX LIMA`23) telah disempurnakan oleh Kapten Norazman bin Mahmud, Ketua Pegawai Eksekutif, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bertempat di Resort World Langkawi hari ini. Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan CAAM merupakan penganjur bersama SAREX LIMA`23 yang bermula pada 9 Mei hingga 11 Mei 2023 di Pulau Langkawi.
Majlis Pembukaan dilaksanakan dengan upacara simbolik eksesais iaitu pemakaian patch eksesais yang disempurnakan oleh Kapten Norazman bin Mahmud kepada Pengerusi Bersama Eksesais SAREX LIMA`23, iaitu Leftenan Kolonel Saravanasennan a/l R. Veerasennan TUDM dan Encik Zul Azri bin Tajudin. Seterusnya, majlis diteruskan dengan Taklimat Utama Eksesais (Main Exercise Briefing) kepada semua peserta yang terlibat.
SAREX LIMA`23 adalah aktiviti pramula kepada pameran LIMA dengan objektif untuk meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan di dalam menangani sebarang kemungkinan berlaku insiden atau kemalangan udara, maritim dan darat sepanjang acara LIMA berlangsung. Agensi-agensi mencari dan menyelamat akan bergabung tenaga dengan kepakaran di dalam bidang masing-masing serta memantapkan koordinasi bersama agar segala perancangan membuahkan hasil yang efektif dan efisien.
SAREX LIMA`23 disertai hampir 1,000 peserta daripada lebih 45 pelbagai unit agensi kerajaan dan swasta termasuk beberapa syarikat penerbangan. Seramai 60 pelakon tambahan sebagai mangsa kemalangan pesawat yang terbahagi kepada mangsa di laut dan di darat. Pelbagai bot penyelamat, kelengkapan menyelamat, ambulans, bomba dari pelbagai agensi akan diuji kemampuan dan keupayaan menyelamat yang dikendalikan oleh anggota mahir manakala pesawat helikopter dan pesawat pengangkut akan digunakan untuk tujuan “winching” dan operasi Medical Evacuation (MEDEVAC).
Dalam pada itu, TUDM ingin memaklumkan agar orang ramai sekitar kawasan Pulau Langkawi tidak merasa cemas atau panik sekiranya melihat aset-aset udara terutama helikopter tentera terbang rendah mahupun aset-aset pasukan keselamatan serta tidak menghampiri kawasan latihan yang sedang dilaksanakan atau mendengar bunyi letupan ketika eksesais berlangsung bermula 10 dan 11 Mei 2023.