SENDAYAN, 5 Apr 23 - Asisten Ketua Staf Tadbir, Brig Jen Hj Baharudin bin Hj Abu Hassan TUDM telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Publikasi Udara Penyiasatan Provos iaitu PU 5309 bertempat di Auditorium Cawangan Provos Marsyal TUDM, hari ini.
Penerbitan Publikasi Udara Penyiasatan Provos iaitu PU 5309 ini adalah berasaskan kepada fungsi dan pengoperasian CPM TUDM yang baharu berdasarkan kepada transformasi Rejimen TUDM dan CPM TUDM. Publikasi Udara Penyiasatan Provos atau PU 5309 ini mengandungi 10 bahagian yang terdiri daripada organisasi, undang-undang, sains forensik, pembuktian kes, risikan jenayah, tatacara pengendalian OYDS/saksi, dokumen dan laporan penyiasatan serta bahagian Am. Publikasi berkenaan juga menfokuskan kepada tatacara sesuatu proses penyiasatan dilaksanakan bermula dari awal hingga selesai. Selain daripada itu, publikasi udara ini juga memberi panduan kepada Pegawai Penyiasat dalam menjalankan siasatan yang melibatkan penugasan seperti penangkapan, soal siasat, penggeledahan, penyitaan dan pencarian bahan bukti di tempat kejadian jenayah. Dengan adanya publikasi ini, akan memberi panduan pembuktian elemen-elemen yang diperlukan bagi sesuatu kes jenayah agar kes yang disiasat mempunyai cukup bukti untuk tujuan pembuktian.
Di samping itu, Asisten Ketua Staf Tadbir, Brig Jen Hj Baharudin bin Hj Abu Hassan TUDM yang diiringi Provos Marsyal Udara, Lt Kol Amrul bin Yacob TUDM turut menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat melibatkan empat (4) anggota Lain-Lain Pangkat yang terdiri daripada anggota CPM dan CPJ Zon. Seramai tiga (3) anggota telah dinaikkan pangkat dari Sarjan Udara kepada Pemangku Flait Sarjan dan seorang anggota dinaikkan ke pangkat Koperal Udara kepada Pemangku Sarjan Udara.
Turut hadir memeriahkan majlis Kol Khairuddin bin Ghazaly TUDM, Pengarah Perkhidmatan; Kol Rashidi bin Ithnin TUDM, Komander Pangkalan Udara Sendaya; Kol Mohd Sam bin Mohd Yusof TUDM; Pengarah Markas Pasukan Simpanan TUDM; Kol Ahmad Sanusi bin Ali TUDM, Pengarah Perundangan dan Ketua-Ketua CPJ Zon.
Tahniah diucapkan kepada CPM TUDM dengan pelancaran Publikasi Udara Penyiasatan Provos atau PU 5309 yang akan menjadi garis panduan untuk dipatuhi dan meningkatkan lagi mutu perkhidmatan berdasarkan amanah serta tanggungjawab yang ditetapkan. Tidak dilupakan tahniah kepada anggota yang telah dinaikkan pangkat hari ini agar memberi semangat dan motivasi kepada semua Warga Udara seiring dengan kehendak perkhidmatan.