MAJLIS ANGKAT SUMPAH PENYERAPAN PEGAWAI DAN AHLI UDARA PERTUGASAN SEPENUH MASA PSSTUDM KE ANGKATAN TETAP TUDM

1 2 3
4 5

 

BANDAR SRI SENDAYAN, 14 Apr 23 – Majlis Angkat Sumpah Penyerapan Ahli Udara Pertugasan Sepenuh Masa Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM) Ke Dalam Angkatan Tetap TUDM telah disempurnakan oleh Kol Mohd Sam bin Mohd Yusof TUDM, Pengarah Pasukan Simpanan Tentera Udara di Dewan Kuliah Utama, Markas Pasukan Simpanan Tentera Udara, Pangkalan Udara Sendayan, hari ini.

Majlis ini melibatkan seramai tiga (3) orang pegawai dan 11 orang Ahli Udara Pertugasan Sepenuh Masa PSSTUDM yang diserapkan ke Angkatan Tetap TUDM hasil daripada komitmen dan kecemerlangan yang telah dipamerkan. Permohonan penyerapan mereka ke dalam Angkatan Tetap TUDM telah diluluskan melalui Majlis Angkatan Tentera (MAT) ke-606 yang bersidang pada 29 Mac 23 yang lalu.

Pengarah PSTU dalam ucapannya mengingatkan agar semua anggota menjadi warga tentera yang profesional dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas. Beliau turut menasihatkan agar setiap anggota terus komited dalam menjaga nama baik Angkatan Tentera Malaysia amnya dan Tentera Udara khasnya.

Acara ini sejajar dengan Tonggak Kedua dalam CAP55-Fasa 1 iaitu memfokuskan kepada hal pembangunan dan pengurusan modal insan TUDM (Warga Udara) yang memenuhi keperluan masa kini dan masa hadapan ATM amnya dan TUDM khasnya. Turut hadir ke majlis ini adalah Pegawai Staf 2 Pengambilan, Mej Mohd Yusri bin Hassan TUDM selaku Pegawai Angkat Sumpah.

Tahniah diucapkan kepada pegawai dan anggota yang telah diserap ke Angkatan Tetap TUDM. Semoga dengan penyerapan ini menjadi pemangkin semangat untuk terus berkhidmat dengan cemerlang dan komited dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.