LABUAN, 23 April 2021 - Panglima Wilayah Udara 2, Mej Jen Dato Hj Shamsudin bin Kassim TUDM telah membuat lawatan kerja rasmi ke Pangkalan Udara Labuan bersempena dengan Pemeriksaan Markas Wilayah Udara 2 (MAWILUD 2) bagi tahun 2021. Lawatan tersebut turut disertai oleh Ketua Staf MAWILUD 2, Brig Jen Muhammad Taha bin Hamdan TUDM serta pegawai-pegawai dari MAWILUD 2.
Ketibaan Panglima Wilayah Udara 2 (PANGWILUD 2) telah disambut oleh Komander Pangkalan Udara Labuan, Brig Jen Nur Hafis bin Abdul Karim TUDM bersama-sama dengan Pegawai Eksekutif Pangkalan yang lain. PANGWILUD 2 telah menerima tabik hormat dan memeriksa kawalan kuarter sebaik memasuki pangkalan.
Lawatan kerja rasmi tersebut bermula dengan sesi taklimat berkenaan PU Labuan serta perkembangan semasa pangkalan oleh Komander Pangkalan. Seterusnya, beliau dibawa melawat ke Skuadron serta unit-unit di bawah naungan PU Labuan serta Blok Penginapan bagi anggota bujang Wisma Ahli Udara. Di samping itu, PANGWILUD 2 juga telah dibawa untuk melawat ke tapak-tapak projek yang sedang dilaksanakan di PU Labuan bagi melihat sendiri keadaan fizikal semasa serta perkembangan projek.
PANGWILUD 2 juga turut meluangkan masa bertemu dengan semua warga PU Labuan dengan mengadakan sesi dialog bersama anggota dan juga pegawai yang bertempat di Dewan Banquet PU Labuan bagi mendengar secara langsung perkara-perkara yang ingin dibangkitkan atau mendapatkan pencerahan terus dari pucuk pimpinan TUDM.
Lawatan PANGWILUD 2 kali ini berjaya dilaksanakan dan mematuhi segala SOP norma baharu. Lawatan tersebut tamat pada 23 Apr 21 selepas sesi debrief Pemeriksaan MAWILUD 2 dilaksanakan.