GONG KEDAK, 11 Sep 21 – Kementerian Kewangan telah mengadakan Lawatan Kerja ke Pangkalan Udara Gong Kedak selama dua (2) hari dari 10 Sep hingga 11 Sep 21. Lawatan ini telah dihadiri oleh Setiausaha Bahagian (SUB) Kewangan Kementerian Pertahanan, Datuk Muhamad Zamani bin Mohd Ali; Budget Review Officer (BRO), En Zulkhairil Amar bin Mohamad; Jurutera Penguasa Kanan (JKR) Cawangan Senggara Fasiliti dan Bangunan, Puan Norliza Baharuddin serta delegasi yang terdiri daripada Pegawai Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertahanan.
Ketibaan delegasi ke pangkalan telah disambut oleh Komander Pangkalan, Kol Wan Azwan Azwari bin Wan Ali TUDM bersama Pemangku Pegawai Eksekutif Pangkalan. Tujuan utama lawatan adalah sebagai pendedahan kepada Kementerian Kewangan bagi melihat sendiri keperluan pembaikan dan sebagai justifikasi kepada Cadangan Projek Penurapan Semula Landasan Terbang Pangkalan Udara Gong Kedak yang telah dimohon dalam Anggaran Belanja Mengurus 2022.
Delegasi telah diberikan taklimat berkenaan permasalah landasan oleh Lt Kol Wan Mohd Firdaus bin Wan Mohd Daud TUDM selaku Ketua Cawangan Operasi. Selepas itu, taklimat cadangan Projek Penurapan Semula Landasan turut diberikan kepada deligasi yang disampaikan oleh PS2 Infrabina MTU–P&P, Mej Mohd Fauzan bin Karim TUDM seterusnya diakhiri dengan taklimat Projek Senggaraan 2020 dan 2021 yang disampaikan oleh Pegawai Senggara Kompleks, Kapt Mohamad Hafiz bin Zainol Abidin TUDM di Wisma Perwira Pangkalan.
Agenda Lawatan diteruskan dengan lawatan ke Menara Kawalan bagi pendedahan kepada pengoperasian dan pengurusan Kawalan Trafik Udara. Seterusnya Delegasi Lawatan dibawa ke Landasan Terbang bagi melihat dan mengesahkan kerosakan yang terdapat di atas landasan dan kemudiannya ke tapak-tapak projek senggaraan yang berkaitan.
Turut hadir adalah wakil dari MTU, Bahagian Materiel - Belanjawan serta Bahagian Perancangan dan Pembangunan - Infra Bina.