RAUB, 28 Sep 21 - Asisten Ketua Staf Tadbir, Brig Jen Hj Mohd Suhaimi bin Hj Sahri TUDM mewakili Panglima Tentera Udara telah menziarahi PW U II Khairul Azwan bin Abd Rahman, anggota Pembantu Pertahanan dari Pangkalan Udara Butterworth yang menghidap penyakit “Human Motor Neuron”. Lawatan kebajikan ini yang dilaksanakan di kediaman anggota di Raub, Pahang turut diiringi oleh PS 2 Pusat Rekod, Mej Siti Nur Huzaimas binti Abdul Razak TUDM dan Lt Muhammad Faqih bin Sabri TUDM, PS 3 Pembangunan Pangkalan Data dari Sel Kebajikan TUDM.
AKS Tadbir telah menyampaikan bantuan kebajikan iaitu wang tunai dan susu khas dari Tabung Kebajikan Angkatan Tentera, Tabung Zakat ATM, Kelab Sukan Sosial Kebajikan ATM (KSSKA) TUDM, Tabung Kebajikan TUDM dan Tabung Musa’adah. Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban kewangan keluarga.
TUDM tetap komited di dalam menjaga warganya berkaitan isu kebajikan dan juga moral. Seluruh warga TUDM mendoakan semoga PW U II Khairul Azwan bin Abd Rahman dan keluarga tabah menghadapi ujian ini serta diberikan kesembuhan kepada beliau.