SUBANG, 4 Julai 23 - Cawangan Provos Marsyal TUDM (CPM TUDM) telah melaksanakan lawatan dan pemeriksaan yang bertempat di Cawangan Penyiasatan Jenayah (CPJ) Zon Tengah, Pangkalan Udara Subang pada 3 dan 4 Jul 23. Kumpulan Pemeriksaan yang diketuai oleh PS 2 Khidmat dan Siasatan, Mej Abd Rahim bin Jaffar TUDM telah melaksanakan pemeriksaan untuk menilai dan memastikan aspek kesiapsiagaan (readiness), keselamatan (safety), Latihan dan Kompetensi (TCI) dan pengurusan sumber manusia adalah memenuhi standard yang diperlukan bagi memastikan pengoperasian CPJ Zon adalah efisien dan berada dalam kesiapsiagaan tinggi selain bertujuan memenuhi Key Performance Indicator (KPI) tahunan yang telah ditetapkan.
Lawatan dan pemeriksaan tersebut kemudiannya diakhiri dengan sesi taklimat balas oleh kumpulan pemeriksa serta ucapan daripada Lt Kol Amrul bin Yacob TUDM selaku Provos Marsyal Udara yang mengingatkan setiap anggota supaya sama-sama berusaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang siasatan agar kualiti siasatan dapat dipertingkatkan dari segi pembuktian elemen kes, tempoh siasatan, kaedah soal siasat dan pengumpulan bukti di Tempat Kejadian Jenayah (TKJ).
Di samping itu juga, beliau turut menekankan supaya tindakan pencegahan jenayah perlu diadakan dengan memberi pendidikan, kesedaran dan maklumat kepada warga pangkalan dan unit mengenai bahaya penyalahgunaan dadah, judi dalam talian, buli serta lain-lain kegiatan jenayah melalui ceramah dan operasi.
Beliau juga berkehendakkan agar anggota-anggota di CPJ dapat mengambil inisiatif untuk melaksanakan "Crime Survey" bagi mengenalpasti potensi perlakuan jenayah dalam pangkalan dalam usaha membantu mengekalkan tahap keselamatan pangkalan dan disiplin anggota.
Provos Marsyal Udara juga dalam ucapannya mengucapkan syabas atas pencapaian yang dicapai oleh CPJ Zon Tengah sejak awal penubuhan unit ini pada Jun 2020 kerana telah berjaya menyelesaikan 62 Kertas Siasatan selain kejayaan meningkatkan jumlah operasi Pencegahan Penyalahgunaan Dadah di KTJ CPJ Zon Tengah iaitu daripada 34 operasi pencegahan pada tahun 2021 kepada 41 operasi pencegahan pada tahun 2022 melibatkan saringan yang dilaksanakan kepada 3,453 orang pegawai dan anggota di KTJ Zon Tengah.
Hasil daripada peningkatan operasi tersebut, kes penyalahgunaan dadah berbahaya dalam kalangan anggota TUDM telah berjaya diturunkan kepada 14 kes pada tahun 2022 berbanding 21 kes pada tahun 2021 iaitu penurunan sebanyak 33%. Sehingga pertengahan tahun 2023, data statistik terus menunjukkan penurunan dan ini membuktikan bahawa impak dari kekerapan operasi cegah yang dilakukan telah berjaya memberi kesan yang baik. Seterusnya, beliau juga berharap agar semua warga anggota CPJ dapat mengekalkan kompetensi dan integriti supaya Provos TUDM terus cemerlang memberikan khidmat yang terbaik kepada TUDM khususnya dan ATM amnya.
#WargaUdara
#Profesional