LATIHAN COMBAT SEARCH AND RESCUE DALAM EKSESAIS MALFRENCH DAGGERT 2023 (EKS MD23)

1 2 3
4 5 6

 

KUALA ROMPIN, Konsep latihan dalam Eksesais Malfrench Daggert 2023 (Eks MD23) kali ini adalah misi Combat Search and Rescue (CSAR). Latihan ini dilaksanakan secara simulasi dengan senario sebuah pesawat pejuang telah terhempas di sekitar Kuala Rompin, Pahang. Walau bagaimanapun, juruterbang pesawat tersebut berjaya menyelamatkan diri menggunakan kerusi anjal dan berjaya menggunakan payung terjun namun telah mendarat di kawasan musuh. Lantaran itu, pasukan elit telah diaturgerak bagi misi CSAR.

Peserta Eks MD23 yang terdiri daripada Pasukan Khas TUDM (PASKAU) dan Commando Parachutiste de l'air 30 (CPA 30) daripada French Air and Space Force atau Armée de l'air et de l'espace (AAE) berganding bahu bagi melaksanakan misi menyelamat tersebut. Latihan telah dijalankan dalam beberapa peringkat iaitu fasa latihan pertama, para peserta telah diaturgerak ke Drop off Point (DOP) menggunakan Teknik ‘fast roping’ dengan pesawat helikopter EC725AP dari No 10 Skn. Kemudian peserta bergerak melalui jalan air merentasi empangan menggunakan bot tempur. Sebaik tiba di Directed Area for Recovery 1 (DAR 1), para peserta melakukan penjejakan di kawasan musuh sejauh 5 km hingga lokasi terakhir isyarat kecemasan diterima daripada juruterbang. Pasukan elit tersebut perlu menggunakan prosedur ‘High Angle Rescue’ dengan menuruni cerun air terjun setinggi 300 kaki untuk menyelamat dan memberikan rawatan awal kepada juruterbang tersebut. Kemudian peserta melaksanakan ‘combat survival’ di kawasan tersebut.

Fasa seterusnya menyaksikan penyusupan keluar pasukan elit bersama mangsa daripada kawasan musuh serta mengaburi pihak musuh dan tidak meninggalkan jejak. Perjalanan yang jauh menyebabkan mereka perlu bermalam di beberapa tempat dan melakukan ‘combat survival’ sekali lagi di DAR 2. Kemudian peserta bergerak ke DAR 3 dan diarahkan untuk ke Selected Area for Evasion (SAFEs) yang terakhir untuk penyusupan keluar dengan helikopter menggunakan Airborne Tactical Extraction Platform (AirTEP).