SUBANG, 1 Ogos 2022 – MTU Inspektorat TUDM selaku Sekretariat Kursus Keselamatan TUDM telah berjaya menganjurkan Kursus Siasatan Kemalangan Pesawat atau Aircraft Accident Investigation (AAI) Siri 12/2022 Peringkat TUDM Tahun 2022. Kursus yang bermula dari 18 hingga 29 Jul 2022 bertujuan melatih dan memberi pendedahan bagi melayakkan peserta yang terlibat menjadi ahli Lembaga Siasatan (Board of Inquiry (BOI) melibatkan insiden atau kemalangan pesawat.
Seramai 19 peserta terdiri daripada 14 pegawai dari Cawangan Juruterbang dan Kejuruteraan TUDM, tiga (3) pegawai perubatan dari Tentera Darat Malaysia (TDM) dan dua (2) pegawai dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah diberikan pendedahan merangkumi pelbagai topik oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), STRIDE, Forensik PDRM, Institut Perubatan Penerbangan (IPP) dan dari kalangan “Subject Matter Expert” (SME) TUDM.
Majlis pembukaan telah disempurnakan oleh Inspektor Jeneral Tentera Udara, Brig Jen Mohd Kahar bin Mohd Kassim TUDM pada 18 Jul 2022 manakala majlis penutup dan penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Pengarah Inspektorat, Kol Tan Chee Kee TUDM pada 29 Jul 2022.
Tahniah dan sekalung penghargaan kepada kesemua peserta dan pensyarah jemputan yang telah memberikan sepenuh komitmen dalam menjayakan kursus ini. Semoga perkongsian ilmu yang diperolehi dalam kursus ini memanfaatkan para peserta di dalam melaksanakan tugas siasatan dengan cekap dan berkesan.