KURSUS PEGAWAI ANTIDADAH PANGKALAN TAHUN 2024

1 3 4
5 6 7
8 9 10
11 12 13
14 15 16
17 18 19

 

SENDAYAN, 19 Apr 24 - Cawangan Provos Marsyal TUDM telah menganjurkan Kursus Pegawai Antidadah Pangkalan bagi Tahun 2024 bermula dari 15 hingga 19 Apr 24 bertempat di Auditorium CPM TUDM.

Kursus yang dijalankan lebih kurang 5 hari ini melibatkan seramai 22 orang peserta seluruh TUDM yang terdiri daripada pegawai-pegawai yang dilantik sebagai pegawai antidadah markas, pangkalan atau unit TUDM.

Kursus Pegawai Antidadah ini dilaksanakan bertujuan memberi pengenalan serta pendedahan kepada bidang tugas Pegawai Antidadah. Di dalam kursus ini para peserta telah dipupuk rasa tanggungjawab dalam memerangi najis dadah seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya dalam menangani penyalahgunaan dadah. Sekaligus memberi penekanan dalam memenuhi senarai semak pemeriksaan IGTU dengan pelaksanaan aktiviti atau program antidadah.

TUDM menerusi Jawatankuasa Antidadah (JKAD) mengambil serius dalam membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan warga TUDM. Bagi merealisasikan hasrat ini, kursus ini juga dilaksanakan bagi memberi kefahaman kepada peserta terhadap fungsi dan peranan agensi penguatkuasa dalam ATM serta agensi penguatkuasa awam bagi membanteras penyalahgunaan dadah serta pemulihan penagihan.

Turut diadakan di dalam kursus ini juga adalah demonstrasi ujian saringan awal dadah dalam air kencing yang dilaksanakan mengikut PMAT Bil 2 Tahun 2022 oleh Sel Narkotik CPM TUDM. Peserta kursus juga turut didedahkan dengan akta dan direktif berkaitan penyalahgunaan dadah serta proses pemberhentian anggota yang terlibat oleh MTU-Perundangan.

Sepanjang kursus ini berlangsung, sesi pembelajaran dalam kelas telah melibatkan penguatkuasa ATM dari 48 CSJ dan Provos Tentera Laut (PROTELA) manakala agensi penguatkuasa awam pula melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Bagi memberi pendedahan kepada Pegawai Antidadah, para peserta kursus turut dibawa melawat ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Sepang. Di sini, peserta kursus telah diberikan taklimat serta diberi peluang untuk berjumpa dan bertanya sendiri kepada peserta program pemulihan tentang pengalaman dan kesan yang diterima akibat penyalahgunaan dadah.

Majlis penutup kursus ini telah disempurnakan oleh Asisten Ketua Staf Tadbir, Brig Jen Junairi bin Baharom TUDM selaku Pengerusi JKAD TUDM. Turut hadir ke acara penutup majlis adalah Pengarah Perundangan Markas Tentera Udara, Kol Ahmad Sanusi bin Hj Ali TUDM serta pegawai-pegawai kanan TUDM yang lain.

Semoga usaha-usaha yang dilaksanakan ke arah membenteras penyalahgunaan dadah di kalangan warga TUDM khususnya dapat dipertingkatkan dan memberi kesedaran kepada seluruh peringkat anggota agar memelihara diri dan keluarga daripada terjebak dengan segala bentuk penyalahgunaan dadah berbahaya yang menjadi perosak kepada organisasi dan negara.