KURSUS FORENSIK DOKUMEN DENGAN KERJASAMA SPRM

1 2 31
33

 

PUTRAJAYA, Cawangan Provos Marsyal TUDM telah melaksanakan Kursus Forensik Dokumen melalui jalinan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kursus ini telah dijalankan pada 4 hingga 7 Sep 2023 bertempat di Menara SPRM, Putrajaya. Tenaga pengajar kursus ini merupakan pegawai pakar dalam forensik dokumen dari Bahagian Forensik Ibu Pejabat SPRM Putrajaya. Kursus ini melibatkan 4 Pegawai dan 16 anggota LLP dari anggota CPM TUDM.

Objektif utama kursus ini adalah untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam aspek pembuktian kes yang melibatkan dokumen serta kepentingan pengendalian eksibit jenis dokumen dalam sesuatu siasatan menurut perspektif Akta Keterangan 1950. Objektif ini secara tidak langsung dapat membantu Pegawai Penyiasat dalam mengendalikan eksibit jenis dokumen semasa di tempat kejadian jenayah dan melaksanakan pemeriksaan terhadap eksibit dokumen menggunakan peralatan yang bersesuaian.

Selain daripada itu, peserta kursus juga turut diberi latihan praktikal seperti pengendalian peralatan yang digunakan untuk menganalisa dokumen bagi memberi pendedahan dan gambaran sebenar tentang cara-cara untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan dari dokumen yang disiasat sekaligus dapat membantu proses penyiasatan.

Kursus ini dilihat sebagai salah satu pelan bagi meningkatkan mutu kerja anggota CPM TUDM terutamanya Pegawai Penyiasat untuk menjalankan siasatan dengan lebih efisien seiring peredaran perkembangan modus operandi pelaku jenayah. Semoga peserta kursus yang telah berjaya menamatkan kursus tersebut dapat memanfaatkan ilmu yang diberikan dan meningkatkan kecemerlangan organisasi CPM TUDM khasnya.