![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
MAKASSAR, 28 Mei 2025 - Panglima Wilayah Udara 2, Mej Jen Dato’ Ahmad Khusairi bin Ahmad Fadli TUDM telah mengadakan kunjungan hormat ke Markas Komando Operasi Udara II (MAKOOPSUD II), Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Udara (TNI AU) yang berpusat di Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia. Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan pertahanan dua hala antara Malaysia dan Indonesia, khususnya dalam aspek kerjasama udara, keselamatan serantau dan saling bertukar pengalaman operasi udara.
Sepanjang kunjungan ini, Panglima Wilayah Udara 2 telah diberi sambutan rasmi oleh Panglima Koopsud II, Marsekal Muda TNI Deni Hasoloan S.,S.E. diikuti taklimat operasi mengenai struktur pemerintahan, fungsi dan peranan Koopsud II dalam menjaga ruang udara Wilayah Indonesia Bahagian Tengah. Delegasi TUDM yang turut serta dalam lawatan ini iaitu Lt Kol Muazam Shah bin Mohd Yusuf TUDM, PS 1 A3 MAWILUD 2 dan Lt Kol Mohd Asmil Faiq bin Adnan TUDM, Pegawai Memerintah No 5 Skn turut berpeluang melawat fasiliti utama Makoopsud II milik TNI AU.
Kunjungan ini turut merangkumi sesi perbincangan dua hala melibatkan isu-isu berkaitan keselamatan ruang udara, peluang bagi kebersamaan pengurusan logistik operasi serta peningkatan latihan gabungan antara TUDM dan TNI AU. Perbincangan ini menzahirkan komitmen bersama dalam memperkukuh kerjasama pertahanan serantau yang stabil.
Selain itu, Panglima Wilayah Udara 2 turut menghadiri sesi ramah mesra dan makan malam rasmi bersama warga Koopsud II yang telah menyemarakkan lagi hubungan profesional dan persahabatan antara kedua-dua angkatan udara.
Secara keseluruhan, kunjungan hormat ini telah berjaya memperkukuh hubungan diplomatik dan ketenteraan antara TUDM dan TNI AU, di samping membuka ruang yang lebih luas untuk kerjasama strategik dalam menghadapi cabaran keselamatan bersama di rantau ini.