GONG KEDAK, 5 Mac 21 – Komander Pangkalan Udara Gong Kedak, Kol Wan Azwan Azwari bin Wan Ali TUDM bersama barisan Eksekutif Pangkalan telah menerima suntikan Vaksin COVID-19 menandakan bermulanya Program Imunisasi COVID-19 di PUGK yang menyasarkan kepada semua barisan hadapan.
Komander Pangkalan telah menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNtech di Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) PUGK yang merupakan antara Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ATM di Pantai Timur.
Program suntikan fasa pertama ini melalui 5 stesen di PPV untuk menjalani proses vaksinasi iaitu saringan gejala dan suhu, pendaftaran pengesahan kehadiran, proses konsultasi dan persetujuan imunisasi dan seterusnya suntikan vaksin COMIRNATY dan proses merekodkan data dalam apps MySejahtera.
Jumlah penerima fasa pertama suntikan Vaksin COVID-19 adalah seramai 210 pegawai dan anggota yang akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 5 Mac hingga 7 Mac 21. Program suntikan vaksin di PUGK telah dikoordinasikan oleh Pegawai Memerintah RSAT PUGK, Lt Kol (Dr) Siti Ilyana binti Md Ghazali dibantu oleh Kapt (Dr) Alya Shahida binti Mat Talib serta Jurusuntik adalah Ketua Jururawat, Norina binti Salleh, SN Farah Fariza binti Ismail, SN Norshazwani binti Sidek dan Kpl Nuraini binti Ahmad Nazri.