GONG KEDAK, 17 Feb 22 - Pangkalan Udara Gong Kedak (PU Gong Kedak) dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu serta Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seluruh negeri Kelantan telah berjaya melaksanakan program derma darah di Dewan Puteri, PU Gong Kedak mulai jam 09.30 pagi hingga jam 03.00 petang. Program ini merupakan inisiatif pihak Pangkalan bersama HRPZ II serta Hospital KKM seluruh negeri Kelantan dalam membantu mereka menangani masalah kekurangan bekalan darah berikutan peningkatan kes yang memerlukan rawatan transfusi darah.
Program Derma Darah ini telah melibatkan (3) tiga Pegawai Perubatan dan 16 Kakitangan Hospital Raja Perempuan Zainab II serta (1) satu Pegawai Perubatan dan (4) empat anggota LLP RSAT Pangkalan. Program telah mendapat sambutan daripada 92 orang warga pangkalan yang terdiri daripada anggota dan Staf Tadbir Awam dan hanya seramai 78 orang yang layak menderma darah.
Ketua Cawangan Tadbir, Lt Kol Juhaini binti Jaafar TUDM turut hadir sama menderma darah dan memantau program tersebut serta semua penderma diarahkan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan bagi mengurangkan kesesakan dan risiko jangkitan Covid 19.
Pihak Tabung Darah HRPZ II Kota Bharu serta Hospital KKM seluruh negeri Kelantan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak TUDM amnya serta PU Gong Kedak khasnya terhadap sikap keprihatinan dan tanggungjawab terhadap masyarakat.