ALOR SETAR, 22 Apr 22 - Bersempena dengan Majlis Sambutan Nuzul Quran, Kolej Tentera Udara telah melaksanakan dua sesi ceramah iaitu bagi Pegawai, Anggota, Kakitangan Awam (Wanita) dan ahli BAKAT di sebelah pagi, manakala bagi jemaah lelaki dilaksanakan sebelum Solat Jumaat bertempat di Surau Al-Iman, Kolej Tentera Udara.
Penceramah jemputan pada sesi pagi adalah Ustazah Dr. Faridah binti Haji Ahmad , Ketua Penolong Mufti di Jabatan Mufti Negeri Kedah. Ianya dihadiri 140 jemaah terdiri daripada Pegawai, Anggota LLP, Kakitangan Awam (Wanita) dan ahli BAKAT Kolej Tentera Udara.
Manakala ceramah sesi kedua telah disampaikan oleh Syeikh Mohd Ashraf bin Haji Mohsin, Penolong Pengarah Bahagian Masjid dan Surau di Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Kedah. Seramai 300 jemaah lelaki yang terdiri daripada Pegawai, Anggota LLP, Pelatih Kursus serta kakitangan awam Kolej Tentera Udara telah menghadiri program tersebut.
Program Ceramah Nuzul Al Quran hari ini bertujuan menanamkan kecintaan dan menghayati peranan Al-Quran sebagai panduan dan peneman bagi kehidupan setiap mukmin. Al-Quran merupakan kitab suci umat Islam yang diturunkan dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia secara keseluruhan sebelum ianya diturunkan secara beransur-ansur dalam tempoh 23 tahun.
Pelbagai ibrah atau pengajaran yang terdapat daripada peristiwa bersejarah penurunan Al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW merupakan Rasul terakhir buat umat manusia. Al-Quran bukan sekadar memberi pedoman ibadah, tetapi kompas petunjuk pelbagai bidang kehidupan seharian manusia, merentasi zaman dan memandu manusia mentadbir urus kehidupan makhluk dan alam semesta.
Umat Islam hendaklah terus menghayati kepentingan dan signifikan peristiwa itu melalui cara sentiasa mendekatkan diri dengan Al-Quran dan mentadabbur (mempelajari) ilmu kitab suci itu selaras dengan apa yang dituntut dalam Al-Quran dan menjelmakan pengamalan akhlak Al-Quran dalam kehidupan seharian.