SUBANG, 5 Feb 21 – Inspektorat TUDM selaku Sekretariat Inovasi TUDM telah berjaya menganjurkan Bengkel Penulisan Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat TUDM bagi tahun 2021 yang pertama secara ‘Online’ menggunakan aplikasi ‘Google Meet’ bermula 2 hingga 5 Feb 21.
Pembukaan Bengkel disempurnakan oleh Inspektor Jeneral Tentera Udara (IJTU), Brig Jen Mohd Kahar bin Mohd Kassim TUDM secara atas talian. IJTU telah menyempurnakan perasmian logo AITUDM 2021 sebagai simbolik pertandingan KIK Peringkat TUDM ini dibuka dengan rasminya. Pengarah Inspektorat, Kol Tan Chee Kee TUDM turut serta dalam pembukaan bengkel secara maya ini.
Bengkel Penulisan KIK secara maya telah dikoordinasi oleh Pegawai Inovasi TUDM, Mej Hairul Zaimy TUDM dan dibantu oleh Kapt Rohayu TUDM dan Kpl U Zamri sebagai ‘Administrator’. Bengkel ini disertai seramai 40 penyertaan dari seluruh markas/pangkalan/unit TUDM. Pihak Sel Inovasi TUDM berjaya menyambungkan 11 lokasi induk atau ‘Station’ TUDM seluruh Malaysia dengan menggunakan dua Host (Cross-Platform menggunakan teknologi Wormhole). Para peserta berada di pasukan masing-masing dan dihubungkan secara ‘online’ menggunakan aplikasi Google (Drive, Meet dan Classroom) secara keseluruhan tanpa sebarang masalah serta nota diberikan secara elektronik menggunakan aplikasi ‘Drive Team’.
Pelaksanaan bengkel ini mendapat kerjasama dan komitmen tinggi daripada Pensyarah Jemputan serta fasilitator yang turut serta membimbing dan membantu para peserta bengkel ini bagi penghasilan laporan serta projek inovasi yang baik sebelum Konvensyen KIK TUDM 2021 bermula. Antara pensyarah jemputan yang telah sudi menyampaikan syarahan adalah daripada Tuan Hj Apandi dari INTAN, Puan Aini dari MiDAS dan Puan Syuhada dari MYIPO. Peserta-peserta juga telah dipimpin mengikut wilayah oleh empat (4) orang fasilitator yang berpengalaman luas dalam Inovasi dan KIK. Antara Fasilitator yang dilantik dan turut serta dalam bengkel ini ialah Lt Kol Saipol TUDM (Borneo), Lt Kol Roslimizal TUDM (East Cost), Mej Ridzman TUDM (Central) dan Mej Fitri TUDM (Northern).
Di dalam ucapan, IJTU juga menyampaikan saranan YBhg PTU agar anggota TUDM mempunyai ‘Disruptive Innovation mindset’ dan meneruskan pembudayaan inovasi serta idea-idea kreatif dalam menambahbaik proses kerja. Beliau turut merakamkan terima kasih kepada pensyarah jemputan dan fasilitator yang telah membantu menjayakan bengkel penulisan kali ini.