BENGKEL PENULISAN KIK HORIZON BAHARU PERINGKAT TUDM BAGI TAHUN 2023

2 1

 

SUBANG 9 Jan 23 – Inspektorat TUDM selaku Sekretariat Inovasi TUDM telah menganjurkan Bengkel Penulisan KIK Horizon Baharu peringkat TUDM bagi tahun 2023 yang diadakan di Auditorium No 8 Skn, Pangkalan Udara Subang.

Bengkel yang berlangsung dari 9 Jan hingga 13 Jan 23 ini diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada seramai 80 peserta daripada 41 penyertaan projek KIK untuk menyediakan laporan yang cemerlang supaya mampu memikat hati panel penilai semasa Konvensyen KIK TUDM yang akan diadakan dan sekali gus berjaya untuk memenangi pertandingan tersebut.

Perasmian pembukaan bengkel telah disempurnakan oleh Inspektor Jeneral Tentera Udara, Brig Jen Mohd Kahar bin Mohd Kassim TUDM selaku Ketua Sekretariat Inovasi TUDM. Dalam Ucapan IGTU, beliau menyatakan bahawa Sekretariat Inovasi TUDM akan membantu serta membimbing projek-projek yang bermutu dan layak untuk dipertandingan ke peringkat kebangsaan atau lebih tinggi. Beliau juga berhasrat agar peserta KIK dapat mengulangi sejarah KIK pada tahun lepas apabila telah berjaya merangkul kejuaraan bagi keempat-empat kategori KIK yang dipertandingkan di peringkat ATM.

Pensyarah jemputan dari MYIPO iaitu Puan Syuhada juga telah turut serta memberi bimbingan cara-cara membuat pendaftaran melalui portal Harta Intelek Malaysia. Peserta-peserta bengkel juga telah dipimpin mengikut wilayah oleh lima (5) orang fasilitator yang berpengalaman luas dalam Inovasi dan KIK. Antara Fasilitator yang dilantik dan turut serta dalam bengkel ini ialah Lt Kol Roslimizal TUDM (Ketua Fasilitator), Mej Ridzman TUDM, Mej Dess Iskandar TUDM, Mej Fitri TUDM dan Mej Haziq Izzat TUDM.