SUBANG, 17 Mac 22 - Markas Tentera Udara-Bahagian Tadbir, Cawangan Perkhidmatan telah menganjurkan Bengkel Pengurusan Kelab Sukan, Sosial dan Kebajikan ATM (KSSKA) TUDM Tahun 2022 bertempat di Mes Wira Angkasa, Pangkalan Udara Subang. Bengkel di bawah kelolaan Sel Kebajikan & KSSKA TUDM ini dihadiri oleh para pegawai dari Markas/ Pangkalan/ Unit TUDM yang memegang jawatan sebagai Bendahari KSSKA.
Bengkel ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan kefahaman Bendahari KSSKA Markas/ Pangkalan/ Unit TUDM mengenai pengurusan KSSKA TUDM, menambahbaik kualiti pengurusan KSSKA TUDM dan mewujudkan peluang interaksi dua hala antara Bendahari KSSKA Markas/ Pangkalan/ Unit TUDM bersama pihak pengurusan KSSKA.
Pengisian bengkel dimulakan dengan taklimat dari Lt Kol Mohamad bin Nordin iaitu Pegawai Staf 1 Sekretariat KSSKA, MATM mengenai penubuhan dan peranan KSSKA dan diikuti dengan taklimat pengurusan KSSKA Markas/ Pangkalan/ Unit TUDM oleh Mej Siti Norfadilah binti Omar TUDM, Pegawai Staf 2 Kebajikan & KSSKA TUDM.
Seterusnya bengkel diteruskan dengan perkongsian maklumat dari Setiausaha Lembaga Sukan TUDM, Mej Rahimah binti Taib TUDM mengenai pengurusan KSSKA Tabung SUKANUD dan disusuli dengan taklimat pengurusan KSSKA Tabung BAKAT Udara oleh Bendahari Tabung BAKAT Udara, Kapt Noor Syuhada binti Abd Razak TUDM.
Bengkel ini diakhiri dengan sesi dialog penambahbaikan pengurusan KSSKA TUDM sementara majlis penutup bengkel pula telah disempurnakan oleh Pegawai Staf 1 Psikologi, Lt Kol Zul Izuddin bin Ismail TUDM mewakili Pengarah Perkhidmatan.