KUALA LUMPUR, 30 Nov 24 β BAKAT Udara MTU melalui Biro Sukan & Kesihatan telah berjaya menganjurkan satu aktiviti yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemakanan sihat. Ceramah Pemakanan Sihat ini telah berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 11.30 pagi dan dihadiri oleh ahli BAKAT MTU serta BAKAT PU Subang. Turut hadir ke aktiviti ini adalah Pn Shadiah Madiha binti Abd Malik selaku Pengerusi BAKAT MTU, yang memberikan sokongan padu terhadap penganjuran aktiviti ini.
Aktiviti ceramah yang dianjurkan ini merupakan satu platform pendidikan yang bermanfaat untuk peserta memahami betapa pentingnya menjaga pemakanan dalam kehidupan seharian. Penceramah jemputan, Encik Nathaniel Keshan Rajah yang juga seorang Dietitian di Hospital Pakar KPJ Damansara, telah berkongsi ilmu dan pengalaman beliau mengenai pemakanan yang sihat dan berkhasiat.
Antara inti pati ceramah yang dikongsikan oleh Encik Nathaniel adalah mengenai kesan pengambilan gula tambahan yang berlebihan dalam diet harian, cara mengawal kolesterol dengan pemakanan yang tepat, serta kesan buruk sarkopenia, iaitu kehilangan jisim otot yang sering berlaku seiring dengan penuaan. Encik Nathaniel turut menekankan betapa pentingnya mengamalkan pemakanan yang kaya dengan protein dan nutrisi lain untuk memastikan kesihatan tubuh yang optimum sepanjang hayat.
Selain daripada perkongsian teori, Encik Nathaniel turut mengadakan sesi demo penyediaan makanan sihat bagi memberikan contoh praktikal kepada para peserta tentang bagaimana mereka boleh menyediakan hidangan sihat yang mudah dan berkhasiat. Ini memberi peluang kepada peserta untuk melihat dan mencuba kaedah pemakanan yang sihat dalam kehidupan harian mereka.
Terima kasih diucapkan kepada Pn Shadiah Madiha binti Abd Malik, Pengerusi BAKAT MTU dan juga ahli BAKAT MTU dan ahli BAKAT PU Subang yang telah hadir bagi mejayakan aktiviti ini dan juga Puan Suhailihani binti Mokhtar selaku Ketua Biro Sukan & Kesihatan yang telah merancang dan menganjurkan aktiviti ini dengan jayanya. Semoga aktiviti seperti ini dapat mencapai objektif yang telah dirancang dan akan diadakan lagi pada masa akan datang.