SUBANG, 9 Jul 24 β Asisten Ketua Staf Kejuruteraan, Mej Jen Hishammudin bin Abdul Rahman TUDM telah menyempurnakan Majlis Serah Terima peralatan melalui Program Kolaborasi Industri (ICP) bersama Syarikat PILATUS Aircraft Limited Switzerland (PAL) di Pusat Perkhidmatan Kejuruteraan Aerospace TUDM (PUSPEKA), di Pangkalan Udara (PU) Subang. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Asisten Ketua Staf Materiel, Brig Jen Norazmi bin Abdul Rahman TUDM, Komandan Kolej Tentera Udara (KTU), Brig Jen Ramli bin Mohd Abd Jabar TUDM, Pengarah Latihan Markas Pendidikan dan Latihan Udara (MPPLU), Kol Hamidi bin Hashim TUDM, Pegawai Laksana PU Subang, Kol Ungku Suzaini bin Ungku Ahmad TUDM, Pengarah PUSPEKA, Kol Nornizam bin Kamarudin TUDM dan Pegawai Memerintah Institut Latihan Penerbangan 1 (INSPEN 1), Lt Kol Rose Adrianna binti Ibrahim Sukri TUDM.
Majlis tersebut dilaksanakan sebagai simbolik penyerahan peralatan terhadap obligasi pihak syarikat melalui ICP kontrak The Supply of Articles and Services Pertaining to RMAF PC-7 MKII Trainer Aircraft dengan syarikat PAL. Peralatan tersebut merupakan sebahagian dari obligasi ICP pihak PAL dengan TUDM. Majlis tersebut juga sebagai penghargaan kepada pihak syarikat PAL dalam menyempurna obligasi ICP kepada TUDM. Penyediaan ICP ini telah menyumbang dari pemindahan pengetahuan dan kepakaran dalaman TUDM serta pemindahan teknologi kepada kesiagaan operasi dan dokongan logistik TUDM.
Di dalam majlis tersebut Pihak PAL telah menyerahkan set Mini-Lab 153 kepada Pengarah PUSPEKA dan 60 x Mini iPad kepada Pegawai Memerintah INSPEN 1, KTU. Mini-Lab 153 tersebut akan digunakan oleh PUSPEKA untuk melaksanakan ujian oil analysis yang dapat memberi indikasi awal jika berlaku kerosakan pada komponen dinamik agar langkah pencegahan awal dapat diambil bagi mengelakkan kerosakan yang lebih serius berlaku. Dengan adanya Mini-Lab ia dapat meningkatkan keupayaan PUSPEKA untuk memberi khidmat teknikal kepada Unit-Unit TUDM yang memerlukan disamping memastikan senggaraan pesawat dapat dilaksanakan dengan lebih efisien. Manakala bagi Mini iPad akan digunakan oleh Jurulatih dan Pelatih Penerbangan sebagai alat bantuan Latihan atau Electronic Flight Bags (EFBs). Mini iPad ini akan memudahkan lagi para Jurulatih dan Pelatih Penerbangan membuat persediaan latihan penerbangan serta dapat menambahbaik dalam pencapaian maklumat seperti publikasi digital, senarai semak, Real time updates, data cuaca dan maklumat penting lain, mudah untuk merancang misi, dapat meningkatkan fokus Pelatih dengan mengurangkan beban semasa melaksanakan latihan penerbangan.
Di dalam ucapan penutup, Asisten Ketua Staf Kejuruteraan berharap agar peralatan yang diperolehi ini dimanfaatkan sebaiknya agar ia dapat memberi impak kepada operasi latihan dan senggaraan TUDM.
Kepekaan semua peringkat terhadap kepentingan perlaksanaan ICP adalah sangat penting agar faedah dari program ini akan memberi manafaat kepada TUDM Khasnya dan Negara Amnya. Kerjasama dan kesepakatan pihak syarikat sebagai rakan strategik juga amat penting dalam memastikan peningkatan keupayaan dalaman TUDM dalam mengendalikan dan menyelenggara aset-aset berteknologi tinggi dan selaras dengan perubahan masa.