PROFIL TIMBALAN PANGLIMA TENTERA UDARA

Image

LEFTENAN JENERAL DATO’ MOHD ASGHAR KHAN BIN GORIMAN KHAN TUDM

PSAT DSAP DIMP PAT SMP KAT AMP KMW PJM PPS PPA rcds (UK) MSc

(NDU Pakistan) fawc psc jt TUDM

Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah dilahirkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 26 Disember 1965. Beliau mendapat pendidikan di Sek Menengah Sultan Badlishah, Kulim Kedah. Kerjaya beliau dalam Angkatan Tentera Malaysia bermula apabila menjalani latihan sebagai Pegawai Kadet di Maktab Tentera Diraja (MTD) pada 18 Jul 1983.

Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah memulakan kerjaya di dalam bidang penerbangan pada tahun 1985 dan telah dipilih untuk menerbangkan pesawat pejuang. Di sepanjang kerjaya ini beliau telah menerbangkan pesawat pejuang A4 Skyhawk, F-5E, MiG-29N dan Sukhoi 30MKM. Beliau telah menjalani kursus jurulatih penerbangan di RAAF East Sale, Australia pada tahun 1992 dan merupakan jurulatih pesawat F-5E dan MiG-29N.

Di sepanjang perkhidmatannya, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah diberi kepercayaan memegang pelbagai jawatan penting di dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai pemerintah, staf dan jurulatih. Antaranya adalah Pegawai Memerintah No 19 Skuadron MiG-29N, Pegawai Memerintah No 11 Skuadron SU-30MKM, Komander Pangkalan PU Gong Kedak,  Asisten Ketua Staf Operasi dan Strategi (Markas Tentera Udara), AKS Operasi dan Latihan (J3) Markas Angkatan Bersama dan Panglima Pendidikan dan Latihan Udara. Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah dilantik sebagai Timbalan Panglima Tentera Udara pada 3 Januari 2020.

Di dalam mencapai kecemerlangan pendidikan dan pengetahuannya, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah menghadiri pelbagai kursus profesional dan ketenteraan di dalam dan luar negara. Antaranya adalah Kursus Latihan Kajian Bawah MiG-29 di India, Kursus Jurulatih (QFI) di Australia, Kursus Staf (MTAT) di Kuala Lumpur, Kursus Maktab Pertahanan di Air War College Karachi, Pakistan, Kursus Royal College Of Defence Studies di UK dan Advance Management Program di Harvard Business School Boston, Amerika Syarikat. Beliau berkelulusan Diploma Kajian Perniagaan UiTM (2002), Diploma Pengajian Pertahanan UM (1999) dan MSc in Strategic Studies dari Universiti Islamabad, Pakistan (2008).

Sebagai menghargai jasa dan bakti yang telah dicurahkan kepada perkhidmatan dan negara, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah dianugerahkan pelbagai Darjah Kebesaran dan Pingat dari Persekutuan, Negeri dan ATM antaranya Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT), Panglima Jasa Negara (PJN), Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP), Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) Pahlawan Angkatan Tentera (PAT), Setia Mahkota Pahang (SMP), Kesatria Angkatan Tentera (KAT), Ahli Mahkota Pahang (AMP), Kesatria Mahkota Wilayah (KMW) dan Pingat Jasa Malaysia (PJM).

Di samping itu, beliau juga telah menerima Anugerah Khidmat Cemerlang (AKC) sebanyak tiga kali iaitu, pada tahun 2004 selaku Pegawai Laksana No 19 Skuadron, PU Kuantan, pada tahun 2007 selaku Pegawai Memerintah No 19 Skuadron, PU Kuantan dan pada tahun 2012 selaku Pegawai Memerintah No 11 Skuadron, PU Gong Kedak.

Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah mendirikan rumahtangga bersama Datin Bibi NasratJahan binti Gulab Khan pada 3 Apr 1993. Pasangan ini telah dikurniakan tiga orang cahaya mata seorang lelaki dan dua orang perempuan. Waktu lapang beliau sering digunakan untuk membaca dan berkebun.