PROFIL PEGAWAI WARAN TUDM

Image

PW U I Mohamad Lockman bin Abdul Jabar dilahirkan pada 24 Febuari 1979 di Kluang, Johor dan menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bandar Easter Felda Simpang Waha Kota Tinggi Johor, dan meneruskan pelajarannya ke Sekolah Menengah Vokasional hingga ke Tingkatan Lima.

Sejak menyertai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 12 Mei 1999, beliau pernah ditempatkan di Sekolah Tentera Udara (STU), SENTRA 3 Subang, Rejimen TUDM Jugra dan Markas Tentera Udara (MTU). Selain itu, beliau juga pernah menyandang jawatan seperti Skuadron Sarjan Mejar Skuadron Force Protection, Skn Sarjan Mejar Skuadron Sayap Tempur dan jurulatih kursus-kursus tempur Pasukan Khas Udara (PASKAU).

PW U I Mohamad Lockman sentiasa menunjukkan kecemerlangan dan komitmen yang tinggi di dalam setiap kursus yang dihadirinya dengan sering kali mendapat Anugerah Penuntut Terbaik atau Penuntut Akademi Terbaik. Pengalaman, pengetahuan dan keupayaan operasi sebenar yang dimiliki oleh beliau menjadikan beliau pilihan utama untuk mengikuti Misi Pengaman Malaysian Contingent West 1 United Interim Force In Lebanon pada tahun 2008. Beliau juga merupakan anggota Tim Taktikal PASKAU yang pertama digerakkan untuk melaksanakan misi Ground Forward Air Controller semasa Operasi Daulat di Lahat Datu, Sabah pada tahun 2013. Manakala pada bulan Oktober 2010 hingga Februari 2011, PW U I Mohamad Lockman telah diberi kepercayaan untuk ditugaskan di dalam  misi OPS FAJAR 8 di Teluk Aden.

Beliau menyandang Pegawai Waran TUDM dan bertindak sebagai penasihat khas kepada Panglima Tentera Udara berkaitan dengan dasar sedia ada yang melibatkan peraturan perkhidmatan, semangat dan budaya TUDM. Sehubungan itu, beliau juga memberikan khidmat nasihat kepada kepimpinan tertinggi TUDM dari aspek yang melibatkan protokol dan istiadat dalam sesuatu acara yang melibatkan TUDM di peringkat Antarabangsa, Kebangsaan, Negeri dan ATM. Beliau juga berperanan sebagai mata dan telinga yang menyalurkan maklumat dan pandangan berkaitan kebajikan dan masalah anggota LLP TUDM.

PW U I Mohamad Lockman adalah seorang anggota yang mempunyai akhlak yang terpuji dengan  keikhlasan dan kejujuran dalam melaksanakan sebarang tugas. Sikap dedikasi, keazaman dan kegigihan beliau telah banyak membantu dalam menjayakan aktiviti di pelbagai peringkat TUDM dan ATM. Pembabitan beliau secara langsung dalam semua perlaksanaan tugas banyak membantu meningkatkan semangat kepada anggota yang lain dan beliau menjadi contoh di atas segala aspek kemahiran, pengetahuan serta sikap yang terpuji. Beliau juga merupakan penerima Airman Of The Year pada tahun 2010 serta diberi kepercayaan memegang jawatan sebagai Pegawai Waran Istiadat TUDM pada 08 Mei 2017 dan seterusnya menjawat jawatan tertinggi di dalam LLP TUDM sebagai Pegawai Waran TUDM yang ke 8 sehingga kini.