PROFIL PANGLIMA TENTERA UDARA

Image

JENERAL DATO' SRI MOHD ASGHAR KHAN BIN GORIMAN KHAN TUDM
SSAP PSAT DSAP DIMP PAT SMP KAT KMW AMP PJM PPS PPA rcds (UK)
MSc (NDU Pakistan) fawc psc jt

PANGLIMA TENTERA UDARA
TENTERA UDARA DIRAJA MALAYSIA

Jeneral Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah dilahirkan di Selangor pada 26 Dis 1965. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Sultan Badlishah, Kulim Kedah. Beliau mula menceburi Angkatan Tentera Malaysia pada 18 Jul 1983 sebagai Pegawai Kadet di Maktab Tentera Diraja (MTD).

Beliau telah memulakan kerjaya sebagai juruterbang pesawat pejuang TUDM pada tahun 1985. Jeneral Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah menerbangkan pesawat pejuang A4 Skyhawk, F-5E, MiG-29N dan Sukhoi 30MKM. Beliau mengikuti kursus jurulatih penerbangan di RAAF East Sale, Australia pada tahun 1992 dan juga merupakan jurulatih pesawat F-5E dan MiG-29N.

Di sepanjang perkhidmatannya, beliau telah diberi kepercayaan memegang pelbagai jawatan penting di dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai jurulatih, staf dan pemerintah. Antara jawatan yang pernah beliau sandang adalah Pegawai Memerintah No 19 Skuadron MiG-29N, Pegawai Memerintah No 11 Skuadron SU-30MKM, Komander Pangkalan PU Gong Kedak, Asisten Ketua Staf Operasi dan Strategi (Markas Tentera Udara), AKS Operasi dan Latihan (J3) Markas Angkatan Bersama, Panglima Pendidikan dan Latihan Udara dan Timbalan Panglima Tentera Udara. Jeneral Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah dilantik sebagai Panglima Tentera Udara pada 7 Mac 2022.

Jeneral Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah menghadiri pelbagai kursus profesional dan ketenteraan di dalam dan luar negara. Antaranya adalah Kursus Peralihan Pesawat MiG-29 di India, Kursus Jurulatih Penerbangan di Australia, Kursus Staf di Maktab Turus Angkatan Tentera, Kuala Lumpur, Kursus Pertahanan di Air War College Karachi, Pakistan, Kursus Royal College Of Defence Studies (RCDS) di UK dan Advance Management Program di Harvard Business School Boston, Amerika Syarikat. Beliau mempunyai kelulusan Master’s Degree in Strategic Studies dari Universiti Islamabad, Pakistan (2008), Diploma Kajian Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (2002), dan Diploma Pengajian Pertahanan dari Universiti Malaya (1999).

Sebagai menghargai jasa dan bakti yang telah dicurahkan kepada perkhidmatan dan negara, beliau telah dianugerahkan pelbagai Darjah Kebesaran dan Pingat antaranya adalah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP), Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT), Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP), Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) Pahlawan Angkatan Tentera (PAT), Setia Mahkota Pahang (SMP), Kesatria Angkatan Tentera (KAT), Ahli Mahkota Pahang (AMP), Kesatria Mahkota Wilayah (KMW) dan Pingat Jasa Malaysia (PJM).

Jeneral Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah mendirikan rumahtangga bersama Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan pada 3 Apr 1993 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu seorang lelaki dan dua orang perempuan.