Putrajaya, 31 Ogos 2021 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama perkhidmatan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta beberapa agensi penguatkuasa telah diberikan penghormatan bagi menjayakan Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2021. Sambutan Hari Kebangsaan 2021 dengan tema “Malaysia Prihatin” telah diadakan di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya bermula jam 8.00 pagi. Selaras dengan saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM), Hari Kebangsaan pada tahun ini diadakan berkonsepkan sambutan secara terbuka (outdoor), terkawal dan berskala kecil serta penglibatan fizikal yang terhad tanpa melibatkan kehadiran orang awam di lokasi.
Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM turut hadir menyaksikan acara sambutan yang berlangsung hari ini bersama-sama Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato' Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM; Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany.
Pelaksanaan sambutan Hari Kebangsaan 2021 pada tahun ini adalah mematuhi dan di bawah pemantauan yang ketat bagi semua prosedur operasi standard (SOP)melibatkan penjarakan fizikal, pergerakan, pemakaian pelitup muka dan sanitasi di lokasi. Gelembung khusus (safety bubble) diwujudkan bagi memastikan tiada percampuran berlaku yang membuka ruang kepada risiko yang tidak diingini. Semua petugas dan peserta persembahan telah diwajibkan lengkap dua dos vaksin dan menjalani ujian calitan(swab test).
Sebanyak empat persembahan diadakan di Dataran Pahlawan Negara iaitu tiga persembahan di lapangan dan satu pertunjukan udara. Penglibatan TUDM merangkumi Bacaan Ikrar Rukun Negara (Faces of Malaysia) terdiri daripada guru dan petugas barisan hadapan, Persembahan Drumline Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Persembahan Pancaragam Gabungan Badan Beruniform dan Pertunjukan Udara. Persembahan Drumline ATM diketuai oleh Drum Major Staf Sarjan Madzain bin Medol dengan kekuatan 60 anggota dari perkhidmatan TDM, TLDM dan TUDM.
Mej Mohd Rizal bin Hj Mohd Nor TUDM, Ketua PancaragamTUDM, Cawangan Muzik dan Kesenian TUDM pula telah diberi penghormatan mengetuai persembahan Pancaragam Gabungan Badan Beruniform. Beliau memimpin gandingan mantap gabungan lapan agensi badan beruniform dari pelbagai pasukan perkhidmatan pasukan beruniform yang terdiri daripada ATM, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Sukarelawan Malaysia.
Persembahan pertunjukan udara merupakan segmen persembahan yang menarik perhatian dan mengegarkan ruang udara di Putrajaya. Segmen pertunjukkan udara antara kemeriahan yang dapat disaksikan dalam sambutan pada hari ini dengan penglibatan 12 buah pesawat TUDM iaitu pesawat pesawat pejuang SU-30MKM (Sukhoi), F/A-18D Hornet dan Hawk serta pesawat angkut Airbus A400M dan C-130 Hercules. Kapt Mohd Azlan bin Kasiah TUDM dan Kapt Dinnesh a/l Nicolas Rene TUDM telah diberi kepercayaan bertindak sebagai komentator semasa Pertunjukan Udara. Segmen ini memaparkan kebolehupayaan dan kesiagaan TUDM hasil gabungan kemahiran dan kepakaran warga TUDM sebagai aset utamanya di samping menampilkan peranan TUDM dalam mempertahankan kedaulatan ruang udara negara Malaysia yang tercinta.
Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan penglibatan TUDM sempena Hari Kebangsaan Ke-64. Selamat Hari Kebangsaan Ke-64. Malaysia Prihatin.
#MalaysiaPrihatin
#HariKebangsaan2021
#Malaysia64Tahun
#LindungDiriLindungSemua
#SentiasaDiAngkasaRaya
#TUDMMampanRuangAngkasaAman