SUNGAI BESI, 20 Mei 22 - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), hari ini telah menganjurkan Latihan Menembak Pistol Pegawai Kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Lapang Sasar Tertutup 25 Meter, Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (25M 1 RAMD), Kem Perdana Sungai Besi.
Latihan ini antara lain bertujuan untuk meningkatkan kemahiran menembak (weapon skills) dan kecekapan pengendalian senjata (weapon handling) ke tahap yang ditetapkan khususnya di kalangan Pegawai Kanan ATM.
Sebelum latihan menembak dimulakan, para peserta telah diberikan Taklimat Keselamatan dan Pertandingan daripada Pegawai Pengendali Pertandingan, Leftenan Kolonel Mohd Syafik bin Saadun TUDM. Selain dari menembak, turut diadakan pertandingan jatuh piring berpasukan.
Latihan ini melibatkan Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM; Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany; Panglima Tentera Udara, Jen Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM serta wakil-wakil pegawai dari tiga cabang Perkhidmatan ATM.
Majlis diakhiri dengan acara penyampaian hadiah kepada para pemenang yang menyertai pertandingan tersebut.