KUANTAN, 17 Feb 23 - Sebuah pesawat helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jenis EC725 AP bersama aset agensi lain iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang penyelam anggota TDM yang hilang ketika sedang melaksanakan latihan di Pulau Undan, Melaka pada 7 Feb 23 lebih kurang jam 12.15 tengah hari.
Anggota berkenaan iaitu L/Kpl Edrin bin Baintim merupakan penyelam kedua dari kumpulan kedua unit 22 KDO. Semasa berada di permukaan air, anggota didapati berada dalam keadaan stabil namun anggota disahkan telah hilang tidak lama kemudian setelah terlepas tali tangan dari gelung.
Sepanjang misi pencarian ini, aset yang terlibat adalah terdiri daripada tiga buah pesawat, dua buah kapal dan 16 buah bot. Keseluruhan keluasan kawasan pencarian adalah seluas 1,424 batu nautika persegi.
Usaha mencari telah memasuki hari kesepuluh namun anggota tersebut masih belum berjaya ditemui. Berdasarkan laporan Penyelam Ranjau yang telah melakukan penyelaman di titik penandaan Team Sonar, tiada sebarang tanda yang boleh dijadikan panduan atau petunjuk kepada keberadaan anggota tersebut.
Usaha yang berterusan serta komitmen yang ditunjukkan oleh setiap agensi penyelamat ini diharapkan akan dapat menemukan anggota dengan kadar segera.