Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melaksanakan satu penerbangan pada 13 Disember 2020 bagi bantuan penghantaran membawa peralatan perubatan daripada Pertubuhan Kebajikan Sosial (PERKESO) iaitu ‘Rapid Test Kit (RTK) Antigen’ sebanyak 110,250 buah dari Pangkalan Udara Subang ke Kota Kinabalu, Sabah.
RTK Antigen tersebut adalah bagi kegunaan PERKESO dalam melaksanakan Program Saringan COVID-19 bagi kumpulan pekerja asing yang bekerja di Sabah dan W.P Labuan dalam memastikan keselamatan kesihatan para pekerja serta memutuskan rantaian COVID-19 di Malaysia. Selain Sabah dan WP Labuan, negeri-negeri lain yang turut terlibat dalam program yang dilaksanakan oleh PERKESO ini adalah Selangor, W.P Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Bantuan penghantaran ini telah dilaksanakan menerusi pesawat angkut C130H dari No. 14 Skn, Pangkalan Udara Labuan. Pesawat telah dikendalikan dengan jayanya melibatkan dua (2) set juruterbang iaitu set pertama Mej Mohd Amin bin Ibrahim TUDM selaku juruterbang dan Kapt Azizul Azwan bin Zulkifly TUDM sebagai pembantu juterbang. Set Kedua pula adalah Kapt Mohamad Zulkarnain bin Mohamad Johari TUDM selaku juruterbang dan Kapt Ahmad Khuzairey bin Md Nasir TUDM sebagai pembantu juruterbang.
Anak kapal lain turut terlibat adalah Jurutera Penerbangan, Mej Mohd Syahir bin Masri TUDM; Jurumalim, Mej Izam Fareq bin Hassan TUDM dan Loadmaster,FSjn Mohd Bazriza bin Abdul Kadir dan Sjn U Muhamad Anuar bin Mohd Yusoff.
Dalam penerbangan ini juga, TUDM turut membawa peralatan set Personal Protective Equipment (PPE) dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menampung keperluan alatan tersebut di pusat-pusat kesihatan negeri Sabah dalam menangani wabak COVID-19 di negeri tersebut.